Budak Tingkatan 3 "Kantoi" Simpan 90 Kilogram Daun Ketum!

KODIANG - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis kerana disyaki menyimpan kira-kira 90 kilogram daun ketum.

Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, penahanan itu dibuat dalam serbuan berhampiran sebuah rumah di Pida 4 Baru, Jalan Megat Dewa, dekat sini, kelmarin.

“Serbuan polis mendapati daun ketum siap dibungkus dalam plastik hitam diletakkan di bahagian belakang rumah terbabit.

“Kita menemui sejumlah 10 bungkus daun ketum dipercayai baru selesai dibungkus untuk dijual kepada mengusaha air ketum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan maklumat orang awam dan risikan pihak mengenai kegiatan penjualan tersebut.

“Kita percaya daun ketum dirampas adalah stok untuk dijual kepada mereka yang memproses air ketum.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. -Sinar Harian