Buku MSO Banyak Bohong, Beri Kesan Negatif - PAS Kedah

Buku kontroversi bertajuk "Kejatuhan PAS Kedah" yang dikarang oleh seorang penulis pro-PAS, Mohd Sayuti Omar, mencetus kerisauan pada PAS Negeri Kedah dan didakwa membawa implikasi negatif.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Musoddak Ahmad dalam kenyataan medianya baru-baru ini menuduh Mohd Sayuti banyak tersasar dari kebenaran dan terdapat pelbagai kesilapan fakta dalam penulisannya di dalam buku tersebut.

"Berhubung isu buku ‘Kejatuhan PAS Kedah’ karangan penulis bebas Mohd Sayuti Omar yang giat diforumkan secara road show sekarang ini, Perhubungan PAS Kedah menyedari bahawa terdapat banyak kesilapan fakta yang terkandung dalam buku tersebut.

"Ianya boleh membawa implikasi negatif khususnya terhadap catatan sejarah sepenggal pentadbiran Pakatan Rakyat Kedah serta memberi imej tidak baik terhadap PAS itu sendiri," kata Musoddak dalam kenyataan media rasmi PAS Negeri Kedah itu.

Justeru itu katanya, PAS Negeri Kedah hanya mampu mengambil inisiatif untuk mengekang pengaruh buku tersebut di kalangan ahli parti melalui kaedah "wacana" yang bakal dianjurkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang bakal ditubuhkan.

"Justeru Badan Perhubungan mengambil tanggungjawab untuk menamatkan atau sekurang-kurangnya meredakan isu tersebut dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi menanganinya secara wacana," katanya lagi.



Menurut kenyataan media yang disebar melalui aplikasi Whatsapp dan dikongsikan di laman Facebook El-Haraki itu, tiada dinyatakantindakan undang-undang yang akan diambil terhadap penulis buku yang melaporkan "hikayat palsu" berkenaan pentadbiran sepenggal Pas Kedah itu.

Sebaliknya, Musoddak dalam kenyataannya hanya melabelkan Mohd Sayuti sebagai "penulis bebas" meskipun penulis itu sememangnya diketahui umum lebih condong menulis dan memberi sokongan kepada PAS selama ini.

Desas-desus di peringkat akar umbi turut mendakwa bahawa buku karangan Mohd Sayuti itu merupakan propaganda pimpinan PAS pro-liberal yang teruk dihentam pada Muktamar PAS Ke-60 di Johor baru-baru ini.

Kata desas-desus itu, buku tersebut merupakan salah satu tindakan "balas dendam" terhadap golongan pro-ulama yang bangkit, enggan membiarkan PAS rosak di bawah penguasaan golongan liberal pro-Anwar di dalam parti tersebut. -Amir Hamzah/UtaraNews.com