Buku Sayuti Buat Rakyat Tak Percaya Pada PAS, Pakatan

Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah, oleh Mohd Sayuti Omar
KUALA LUMPUR -  PAS Selangor kesal dengan penerbitan satu buku bertajuk “Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah”  oleh penulis politik, Mohd. Sayuti Omar.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, penerbitan buku itu bakal menyukarkan pakatan pembangkang di Selangor memulihkan keyakinan orang ramai.

“Kami di Selangor baru sahaja selesai melalui krisis Menteri Besar dan sekarang ini memandang ke hadapan berusaha untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat yang telah sedikit sebanyak terhakis akibat dari krisis tersebut.

“Oleh yang demikian, adalah tidak perlu membawa krisis yang berlaku di luar ke negeri Selangor. Kami di Selangor tidak perlu disibukkan dengan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyatan media hari ini.

Iskandar turut menyifatkan penerbitan buku itu juga bertujuan mengelirukan rakyat Selangor dengan membawa isu-isu luar terutama isu kejatuhan kerajaan PAS di Kedah,

Justeru, beliau menegaskan program Bedah: Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah yang dirancang diadakan di Ampang di sini oleh pihak tertentu tiada kaitan dengan PAS Selangor.

“Satu kajian telah menunjukkan sokongan rakyat kepada pakatan telah meningkat. Maka janganlah pula ada yang menjadi pengacau kepada usaha-usaha untuk memperkukuhkan sokongan rakyat kepada PAS dan pakatan di Selangor,” katanya.

Mohd. Sayuti dalam blog beliau mendakwa buku itu adalah satu dokumen sejarah yang merekodkan faktor yang menyebabkan kerajaan PAS tumbang di Kedah.

Dakwa beliau, ia bertujuan supaya tragedi yang berlaku di Kedah itu tidak berulang di negeri lain kerana ia relevan dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor baru-baru ini.