Seorang lelaki akan didakwa di Sydney pada Jumaat ini kerana membunuh
anak perempuan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Peter Chye
di rumahnya di Sydney lebih 24 tahun lepas.
Chye turut kehilangan anak lelakinya Michael, seorang doktor bergelar
jutawan, yang ditembak mati di Sydney 10 bulan sebelum itu.
Akhbar Daily Telegraph melaporkan lelaki yang ditahan itu, seorang
warga Australia yang tinggal di Thailand, ditahan detektif daripada
Skuad Homisid sejurus tiba di Sydney menerusi penerbangan dari Kuala
Lumpur pada Ogos lepas.
Rita Caleo (nee Chye), 39, ibu dua anak, ditikam sehingga mati di
apartment mewahnya di kawasan eksklusif Double Bay di Sydney pada awal
pagi 10 Ogos 1990.
Caleo, seorang ahli perniagaan, ditikam di dalam bilik tidurnya
manakala bayi perempuan dan anak lelakinya berusia empat tahun tidur di
bilik bersebelahan.
Pengasuh yang tinggal bersama mereka terdengar bunyi bising dari bilik
tidur utama sebelum menemui mayat wanita itu pada 1.30 pagi.
Ketika kejadian, Mark Caleo, suami Rita, sedang bekerja di sebuah daripada dua restoran Itali miliknya di Sydney.
Difahamkan, mereka mempunyai sebuah restoran, juga dinamakan Caleo, di Kuala Lumpur.
Lelaki yang ditahan itu masih remaja ketika pembunuhan itu berlaku dan dipercayai mempunyai kaitan dengannya.
Pembunuhan Caleo disusuli insiden tembakan terhadap abangnya yang kaya raya, Dr Michael Chye, pada 16 Oktober 1989.
Dr Chye ditembak mati ketika sedang duduk di dalam kereta Mercedes Benz
kepunyaannya yang diletak di dalam gar j rumah agamnya di kawasan mewah
pinggir bandar Woollahra di Sydney.
Daily Telegraph melaporkan sungguhpun siasatan menyeluruh dijalankan
dalam kedua-dua kes pembunuhan itu pada 1990-an, namun tiada siapa pun
yang ditahan.
Detektif dari pasukan homisid Inspektor John Lehmann dilaporkan
memberitahu media bahawa polis percaya beberapa orang terbabit dalam
pembunuhan Caleo dan Dr Chye, dan siasatan masih dijalankan.
"Kami berharap dapat melakukan lebih banyak tangkapan," Daily Telegraph memetik Lehmann sebagai berkata.
Sementara itu, akhbar Sydney Morning Herald melaporkan tiga bulan
sebelum kematiannya, Caleo dikatakan menghantar surat di dalam sampul
yang digamkan kepada peguamnya.
Pada sampul surat itu tertera: "Buka hanya sekiranya kematian saya luar biasa."
Sampul surat itu dibuka oleh peguam Caleo di hadapan beberapa detektif
selepas pembunuhannya pada 1990. Beliau mendakwa dua orang melakukan
pembunuhan abangnya mengikut cara gengster.
Dalam surat itu, Caleo menyatakan sekiranya beliau meninggal dunia
secara luar biasa, orang yang sama bertanggungjawab menyebabkan
kematiannya itu. - Bernama