Cabul? Inilah Balasan Pada Lelaki Yang Selamatkan Nyawanya...

“MADU diberi, tuba dibalas…” – mungkin itu perumpaan paling sesuai untuk menceritakan tentang nasib seorang lelaki ini.

Kisahnya berlaku di Jepun apabila lelaki yang namanya enggan didedahkan cuba menyelamatkan seorang wanita yang kemalangan, namun dituduh mencabul dan penipu.

Memetik JapanToday.com, lelaki itu digelar sedemikian kerana dia menggunting baju seorang wanita untuk membolehkan alat Automated External Defibrillator (AED) dipasang pada dada mangsa terbabit.

Katanya, dia terserempak dengan kemalangan jalan raya baru-baru ini dan mendapati pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan serius.

“Namun, seorang penumpang tidak sedarkan diri dan saya tidak dapat mengesan nadinya. Saya cuba memberikan bantuan pernafasan, manakala ada orang lain menghubungi ambulans,” katanya ketika disoal siasat.

Sementara menunggu bantuan sampai, seseorang pergi ke kedai membeli alat AED itu.

“Saya mengambil gunting dalam kotak AED itu dan mula memotong pakaian wanita berkenaan. Tiba-tiba pemandu kereta memarahi saya dan memanggil saya hentai (penipu) sebelum menghubungi polis mengadu saya seorang chikan (kaki cabul),” katanya.

AED adalah peranti untuk menganalisis rentak jantung dan boleh menghasilkan kejutan elektrik untuk mengembalikan fungsi organ itu kepada tahap normal.

Wanita mangsa kemalangan itu pula dilaporkan selamat selepas dibawa ke hospital.

Walaupun ada pihak mahu memberikan sijil penghargaan kepada lelaki itu, dia berkata, ia bukanlah perkara penting dan tidak berniat menerimanya.

“Penggunaan AED hanya berkesan jika diletakkan bersentuhan dengan kulit. Saya rasa semua pihak perlu memahaminya,” katanya.

Jika anda ingin tahu apakah itu AED, rakaman di bawah ini membuktikan bagaimana alat itu mampu menyelamatkan nyawa. 





Sumber: Mynewshub.cc