Cerita Maahad Tahfiz Al-Quran Di Derga...

BERCITA-cita mahu melahirkan ramai hufaz dalam kalangan generasi muda menyebabkan seorang bekas juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sanggup mewakafkan tanahnya sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, dekat sini.

Yahya Saad, 65, juga meninggalkan kerjayanya itu semata-mata mahu melahirkan ramai hufaz al-Quran supaya generasi itu menjadi pembimbing agama kepada masyarakat pada masa akan datang.

Menurutnya, pusat pengajian al-Quran itu didirikan pada 1990 dengan bermodalkan RM300 bagi menambak tanah pada peringkat awal.

"Pada masa itu, hanya 13 pelajar saja yang mampu belajar di sekolah itu termasuklah bekas Adun Bukit Lada, Allahyarham Ahmad Izzat Shauki," katanya.

Yahya berkata, pada masa itu banyak kelengkapan tidak dapat dipenuhi kerana masalah kewangan yang dihadapi.

"Saya terpaksa memohon pelbagai bantuan supaya maahad itu dapat diteruskan bagi menampung kemasukan pelajar setiap tahun.

"Pada awal pembinaannya saya menghadapi banyak masalah kerana orang ramai lebih suka mengambil sikap melihat dan menunggu perkembangan sekolah itu terlebih dahulu. Dengan izin ALLAH SWT, pelbagai sumbangan diterima bagi membiayai pembangunan maahad sehingga saya sendiri tidak tahu siapa pendermanya itu," katanya.

Katanya, adalah sangat sukar untuk memantau pelajar di situ apatah lagi ada dalam kalangan ibu bapa menghantar anak mereka dengan pelbagai masalah supaya dapat mendidik anak mereka menjadi anak soleh.

"Bagaimanapun itu adalah amanah daripada ibu bapa dan kami terpaksa memasukkan pendidikan akhlak dan al-Quran sebagai benteng kehidupan mereka.

“Pernah saya sendiri terpaksa berjaga malam dan meninjau ke beberapa kafe siber berdekatan bagi memantau pelajar supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala sosial,” katanya.

Malah katanya, masalah pembayaran yuran juga turut dihadapi di maahad itu kerana ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menunda bayaran dan ini menyebabkan beberapa kali bayaran elektrik hampir dipotong.

"Kini selepas 25 tahun beroperasi, maahad itu menjadi mercu tanda bagi penghafaz al–Quran kerana telah melahirkan ramai penghafaz hingga berjaya mengharumkan nama negara di seluruh dunia.

"Kejayaan itu menyebabkan semakin ramai pelajar dari Thailand, Singapura, Kemboja dan Vietnam turut datang mendalami al–Quran di situ. Inilah saja sumbangan yang saya dapat bantu bagi melahirkan generasi al-Quran dan diharap pengorbanan ini akan dapat diteruskan sehingga lebih ramai lagi masyarakat meletakkan penghafaz al-Quran setanding dengan golongan profesional lain," katanya.

Profil

Nama: Yahya Saad
Tarikh lahir: 20 Jun 1949
Nama isteri: Faridah Jaafar
Anak: Enam orang
Asal: Alor Setar

Sumber: Sinar Harian