Akhir-akhir ini semakin banyak ejen nikah sindiket wujud. Hasil
pemantauan di Internet, ejen berkenaan menawarkan pakej perkahwinan
semurah RM1,000 hingga RM3,000 di wilayah Selatan Thai seperti di
Songkhla, Narathiwat, Yala dan Pattani. Antara pakej itu penginapan di
hotel, pengangkutan, beli-belah selepas bernikah, dapat surat nikah
daripada majlis agama dan Konsulat Malaysia dalam masa sehari dan
macam-macam lagi.
Tinjauan mendapati rata-ratanya ejen nikah sindiket menggunakan
pelbagai jenis ‘tagline’ promosi seperti ‘cepat dan murah’ yang sedikit
sebanyak berjaya menarik orang ramai, terutama bermasalah untuk
berkahwin menurut undang-undang, seperti lelaki ingin berkahwin lagi dan
pasangan tidak boleh berkahwin disebabkan tentangan keluarga. Daripada
perspektif undang-undang, tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘kahwin
sindiket’. Ia diberi oleh masyarakat.
Nikah sindiket ialah nikah yang
tidak mengikut peraturan, yakni seseorang berkahwin di daerah atau di
negeri lain tanpa terlebih dulu memohon kebenaran untuk berkahwin di
luar daerah. Ada juga pernikahan sindiket dijalankan di dalam negara.
Cara mudah untuk membezakan antara nikah sindiket dengan nikah yang
mengikut peraturan ialah kebenaran sudah diperoleh daripada jabatan
agama Islam atau Mahkamah Syariah.
Perlu dapat kebenaran
Secara prinsipnya, sesuatu perkahwinan seseorang lelaki atau perempuan
perlu mendapat kebenaran sama ada daripada pendaftar atau dalam kes
tertentu, kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
Seksyen 19, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin sudah diberi: (a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syarie di bawah seksyen 18, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan; atau (b) oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu negeri, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin di negeri itu.
Pendaftar yang dimaksudkan ialah Pendaftar Kanan Perkahwinan,
Perceraian, dan Rujuk Orang Islam, termasuk Pendaftar dan Penolong
Pendaftar di Jabatan Agama Islam.
Kebenaran daripada hakim syarie pula diperlukan dalam kes perkahwinan di bawah umur, perkahwinan yang membabitkan seorang janda berhias (bercerai sebelum disetubuhi suami), seorang perempuan yang tidak mempunyai wali nasab dan seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami. Undang-undang juga mensyaratkan kehadiran atau persetujuan wali ketika pernikahan, dan wali hakim atau wali raja bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.
Kebanyakan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang lebih suka memilih selatan Thailand kerana tidak perlu membawa wali, surat kebenaran berkahwin daripada jabatan agama Islam, perintah Mahkamah Syariah bagi yang ingin berpoligami, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran. Sesetengah pasangan yang lari bernikah di luar negara meletakkan kesalahan kepada peraturan atau prosedur dikatakan menjadi punca mereka memilih bernikah secara sindiket.
Terlalu mudah memberi alasan. Cuba
fikir, bagaimanakah hendak menempuh gelombang kehidupan berumahtangga
yang penuh pancaroba jika ujian mudah menurut peraturan dan prosedur pun
tidak sanggup untuk dihadapi?
Perkahwinan suatu perkara suci, maka ia
perlu dilakukan mengikut undang-undang. Peraturan yang diadakan bukan
bertujuan menyusahkan tetapi untuk menjaga masyarakat, mengawal
kerukunan keluarga dan memelihara nasab yang bakal dilahirkan.
Peraturan menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan
bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua-dua ibu
bapa kerana membelakangkan mereka.
Pernikahan sindiket juga berisiko menghadapi masalah perkahwinan dan
berkemungkinan tidak dapat didaftarkan disebabkan rukun nikah tidak
sempurna atau surat nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Ada kes
perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah atau Kelantan tetapi sijil
nikah yang dikeluarkan ialah sijil nikah Thailand. Hal ini akan
menyebabkan sijil nikah yang dikeluarkan tidak diiktiraf oleh
undang-undang keluarga Islam, permohonan untuk mendaftarkan nikah
ditolak, dan kesannya, urusan pendaftaran anak tergendala.
Jika berlaku
perceraian atau kematian, ia akan menimbulkan masalah kepada waris,
sehingga urusan pembahagian harta juga terbantut.
Jenayah syariah
Tindakan pasangan yang bernikah secara sindiket juga akan mendedahkan
diri mereka dengan tindakan jenayah syariah. Di Wilayah Persekutuan,
kesalahan bagi seorang perempuan atau lelaki bernikah tanpa kebenaran
atau seorang lelaki berpoligami tanpa kebenaran ialah boleh dikenakan
denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau
kedua-duanya sekali (denda dan juga penjara).
Tindakan ejen yang
mengaut keuntungan dengan menangguk di air keruh juga boleh dikenakan
tindakan undang-undang. Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan hukuman denda tidak
melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau
kedua-duanya sekali kepada seseorang yang mengakadnikah atau berbuat
sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara
sesuatu perkahwinan atau bersubahat dengan perkara berkenaan.
Perkahwinan penyatuan dua jiwa insan dan dua keluarga, yang diikat dengan syarat yang ditentukan oleh syarak. Oleh yang demikian fenomena nikah sindiket sudah tentulah bertentangan dengan falsafah kekeluargaan. Ia juga bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan. Dalam sesetengah keadaan, ia menggugat keharmonian, meragut kebahagiaan dan meruntuhkan institusi keluarga yang sedia ada.
*Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (sekretariatpgsm@yahoo.com) -myMetro