Curi Balak: 9 Individu & Pegawai Polis Ditahan, RM18 Juta Dibeku

KUALA LUMPUR – Sepuluh individu termasuk seorang pegawai kanan polis ditahan dalam satu operasi bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ops Tukul berhubung kes pembalakan haram di Sarawak, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata dalam operasi yang dijalankan sejak 20 Oktober itu sebanyak 30 akaun pemilik syarikat balak bernilai lebih RM18 juta turut disita.

Beliau berkata, pegawai kanan polis yang berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sarawak itu ditahan kerana menerima rasuah berjumlah RM16,000 daripada pembalak haram.

“Bahagian Perisikan SPRM sudah membuat pemerhatian dan pemantauan selama sembilan bulan di 12 lokasi di Sarawak termasuk Kuching, Limbang, Sibu, Ulu Baram, Lundu, Kapit dan Miri. Risikan kami mengesahkan bahawa kecurian balak di kawasan yang dipantau memang berlaku.

“Mereka yang ditangkap berumur antara 28 hingga 70 tahun yang terdiri daripada pengarah urusan syarikat, pemilik syarikat dan pengurus kem. Nilai rasuah yang diberi adalah antara RM300 hingga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Shukri berkata, setakat ini lima daripada individu yang ditahan sudah didakwa manakala selebihnya masih ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Empat di Limbang dan seorang di Kuching sudah didakwa manakala yang lain masih ditahan termasuk seorang pegawai kanan polis berkenaan hingga 26 Oktober ini,” katanya.

Semua individu yang ditahan boleh didakwa mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika disabitkan kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan. - BH Online