KUALA LUMPUR – DAP didakwa menjadi punca kepada penularan budaya
menyebar fitnah di laman sosial seperti Facebook (FB) hingga menggugat
ketenteraman awam di negara ini.
Menurut seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tiong
King Sing, aktiviti fitnah di FB oleh parti politik pembangkang itu
semakin berleluasa ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
Dakwaan King Sing itu bagaimanapun mengundang kemarahan beberapa wakil rakyat DAP ketika persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
“Bila DAP ajar? Bila DAP ajar? Tarik balik kenyataan itu. Ini
penyerang siber Umno yang ajar,” kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony
Loke.
Terdahulu, ketika mengajukan soalan tambahan, King Sing berkata, DAP
memulakan perang siber demi kepentingan politik pembangkang.
“Rakyat selalu guna Facebook untuk tulis macam-macam, kutuk
macam-macam. Tapi siapa mula ini cerita? DAP ajar,” katanya yang juga
Ahli Parlimen Bintulu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph
Kurup berkata, kerajaan memandang serius mengenai penularan budaya
menyebar fitnah, penghinaan terhadap agama dan kaum oleh individu tidak
bertanggungjawab di media sosial seperti FB.
Katanya, pelbagai langkah pencegahan diambil kementeriannya khususnya
melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bagi membendung
budaya itu.
Malah beliau turut bersetuju supaya tindakan tegas diambil oleh kementerian dan pihak berkuasa terlibat.
“Pengguna laman media sosial mesti bertanggungjawab. Tapi jika ia
digunakan untuk mengguris perasaan pihak lain dan didapati menyalahi
undang-undang…kita patut ambil tindakan sewajarnya,” katanya. – mStar