KUCHING — DAP Sarawak hari ini menyatakan ia menghentikan semua
komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam Pakatan Rakyat
(PR).
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, jawatankuasa negeri parti itu
mengambil keputusan memisahkan diri daripada kegiatan bersama PAS dan
PKR sehinggalah dua parti itu menjelaskan pendirian mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
jawatankuasa itu di sini, beliau berkata DAP Sarawak akan meninggalkan
PR jika kumpulan ulama PAS, yang memperjuangkan hukum hudud, menguasai
parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.
“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar,” katanya.
Beliau berkata PKR juga tidak menjelaskan pendirian mereka berhubung
pelaksanaan hukum hudud dan keputusan DAP Sarawak itu menghantar isyarat
jelas kepada rakannya dalam PR supaya bersikap jelas berhubung
pendirian masing-masing.
“Keputusan untuk keluar (daripada PR) adalah keputusan yang tidak
boleh diubah. Sebelum kami mengambil keputusan yang tidak boleh diubah
itu, kami perlu bersikap terbuka tentang pilihan yang ada dan menyatakan
pendirian kami secara jelas,” katanya. — BERNAMA