Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG) iaitu
David Teo memastikan artis bawah naungannya dapat membeli
sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai jaminan masa depan
masing-masing.
David berkata, dia bersikap demikian kerana tidak mahu melihat mereka
mensia-siakan wang hasil lakonan dengan menghabiskannya kepada perkara
yang tidak mendatangkan keuntungan.
"Artis-artis sekarang kalau ada duit lebih suka beli kereta dan beg tangan berjenama daripada membeli rumah.
"Sikap ini yang ingin saya kikis kerana mereka perlu sedar pelaburan
dalam bidang hartanah menjamin masa depan mereka kelak," katanya kepada mStar Online.
David ditemui pada sidang media Karnival Puncak Rasah Andaman Seremban yang diadakan di pejabat MIG di sini pada Isnin.
Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew.
Dalam pada itu, David mengakui sukar untuk mengubah mentaliti artis
naungannya tentang kepentingan membeli rumah namun dia sentiasa
menasihati mereka supaya tidak menyesal di kemudian hari.
|
David menyerahkan borang permohonan membeli
unit apartmen di Puncak Rasah Andaman, Seremban oleh artis dan
kakitangan MIG kepada Vincent. |
Jelas David, punca utama mereka enggan
membeli rumah adalah kerana perasaan takut tentang komitmen ditambah
dengan kurang pendedahan dalam proses membeli hartanah dengan betul.
"Saya tidak mahu apabila mereka tua nanti mereka terpaksa merayu untuk
mencari tempat tinggal dan terpaksa mengharapkan ihsan orang lain.
"Sebab itu saya paksa mereka untuk membeli rumah kerana ia jaminan masa
depan mereka dan sekurang-kurangnya jika sudah tidak berlakon mereka
sudah ada kediaman sendiri," ujarnya.
David turut memuji sikap artis seperti Lisa Surihani, Farid Kamil, Nora
Danish dan Shaheizy Sam yang bijak menggunakan wang hasil lakonan mereka
untuk melabur dalam bidang hartanah.
Sementara itu, David berkata, kerjasama di antara MIG dan Kumpulan
Andaman membuka ruang kepada artis di MIG untuk memiliki rumah sendiri
dengan harga berpatutan.
Malah karnival yang bakal diadakan itu nanti membuka ruang kepada semua
penggiat seni untuk memiliki hartanah untuk bekalan masa hadapan.
"MIG sangat serius dalam menguruskan perancangan masa depan artis dan
pekerja syarikat kami dalam memastikan mereka faham bahawa pelaburan
dalam hartanah sebenarnya menguntungkan.
"Saya mahu lihat mereka semua ada aset sendiri dan mungkin sekarang ia
lihat seperti membebankan namun suatu kesenangan pada masa hadapan,"
ujarnya.
Karnival tersebut bakal diadakan pada 18 Oktober ini di Taman Puncak
Rasah, Seremban dengan kehadiran artis terkenal seperti Diana Amir,
Adeline Tsen, Shima Anuar, Fadlan Hazim, Ryzal Jaafar dan Zalif Sidek. -mStar