ALOR SETAR - Kerana cinta, seorang gadis sanggup menggadaikan maruah
untuk bersama teman lelaki yang baharu dikenalinya sebulan lalu dengan
bermalam di sebuah hotel, dekat sini.
Namun, pasangan kekasih berusia 23 tahun yang kedua-duanya pelajar
semester tiga di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Bukit Kayu
Hitam dicekup dalam Operasi Bersepadu Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kedah, kelmarin.
Difahamkan, beberapa anggota ops bersepadu terpaksa menunggu lebih
kurang 10 minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel
tersebut.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi
Mahmud berkata, ketika disoal, lelaki berasal dari Pendang, manakala
gadis berasal dari Johor itu memaklumkan mereka berdua makan angin di
Pantai Merdeka bersempena cuti hujung minggu.
Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan menyewa bilik hotel terbabit selepas mendakwa tidak sempat pulang ke kolej kediaman.
Katanya, kadar sewa hotel serendah RM15 sejam ditawarkan beberapa hotel mengakibatkan golongan pelajar mengambil kesempatan.
“Harga mengikut kadar jam rendah. Jadi, mana-mana pelajar mampu akan
membayar sewa demi melampiaskan nafsu bersama pasangan,” katanya.
Menurutnya, golongan pelajar sepatutnya menumpukan pada pelajaran,
sekali gus mengetepikan keinginan cinta mereka demi mengelakkan
terjerumus ke kancah maksiat.
"Pihak kami mendapati ada kediaman dijadikan tempat persinggahan pasangan kekasih demi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Operasi berterusan dilaksanakan dilihat mengurangkan aktiviti maksiat,
namun pihak kami akan terus mengadakan pemantauan demi mengekang
aktiviti tak bermoral," katanya.
Terdahulu, kira-kira 40 kakitangan kedua-dua jabatan memeriksa beberapa
hotel murah di sekitar bandaraya Alor Setar dalam operasi bermula jam
12 tengah malam hingga 3.30 berkenaan. -Sinar Harian