KUTA — Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH135 melakukan pendaratan
cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, selepas seorang
penumpang menunjukkan tanda sudah sampai waktu untuknya melahirkan
anak, semalam.
Menurut Pengurus Besar Lapangan Terbang Ngurah Rai, Herry A.Y Sikado,
selepas melakukan koordinasi dengan Pengendali Lalu Lintas Udara (ATC)
Ngurah Rai, pesawat MAS yang sedang membawa penumpang dari Kuala Lumpur
ke Brisbane, Australia, mendarat di situ sekitar jam 2.10 petang.
“Juruterbang menghubungi ATC untuk permohonan divert (pengalihan) dan
melakukan pendaratan cemas kerana salah seorang penumpang mahu
bersalin,” katanya.
Setelah pesawat MH135 yang membawa 178 penumpang itu mendarat, wanita
rakyat Australia dikenali sebagai Samual P. Jeyanthi, segera dikejarkan
ke Hospital Kasih Ibu di Kedonganan, Badung.
Pesawat MH135 kemudiannya kembali meneruskan penerbangan ke Australia pukul 4.14 petang.
Herry berkata, pendaratan cemas dilakukan pesawat MAS itu berjalan
lancar dan tidak menganggu lalu lintas penerbangan lain meski pun Ngurah
Rai merupakan salah satu bandar tersibuk di Indonesia.
Difahamkan, MAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan insiden ini dalam masa terdekat.
Sumber: Mynewshub.cc