Dengar Cakap Bomoh, Lelaki Kapak Jiran Sampai Mati!

Zimbabwe - Seorang lelaki mati selepas dikapak jirannya kerana disyaki menyihir dia dan keluarganya.

Kejadian minggu lalu itu berlaku berikutan satu majlis menghapuskan sihir yang dilakukan seorang dukun, Gurajena, di kediaman suspek.

Suspek, Wilson Mupakati, 53, menyerang jirannya, Chirumezani selepas Gurajena memberitahu dia dan keluarganya disihir oleh mangsa.

Mahkamah semalam diberitahu, sebaik dimaklumkan oleh dukun berkenaan, Mupakati, 53, dengan membawa kapak pergi ke rumah mangsa.

Tidak sempat Chirumezani berkata-kata, suspek mengeluarkan kapak yang disembunyikan di belakangnya lalu menetak kepala mangsa.

Ia menyebabkan Chirumezani mati di tempat kejadian.

Pendakwa raya Webster Dimungu berkata, polis menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu ketika menangkap Mupakati di rumahnya.

Mahkamah tidak membenarkan suspek diikat jamin memandangkan kes itu berat dan saksi pula tinggal di kampung sama. - Agensi