Dua Beranak Tak Sempat Beraya... Al-Fatihah

Foto
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang.
Jempol - Hasrat dua beranak yang juga Orang Asli untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga mentua di Kampung Pabai, Miku, Rembau, dekat sini tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, mangsa, Baji Lebong, 29 dan anaknya, Zamzuriery Muzameer, 8 dalam perjalanan dari Kampung Ulu Lakai, di sini dengan menunggang motosikal ke Rembau.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 bersama anaknya dikejutkan kehadiran kereta Proton Gen 2 yang cuba memotong sebuah kenderaan di jalan itu.

Katanya, kereta itu yang datang dari arah Kuala Pilah gagal memotong sehingga merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat nahas, mangsa dan anaknya tercampak 10 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua beranak itu parah di paha, badan dan kepala. Mayat mereka dibawa ke Hospital Jempol, di sini, untuk dibedah siasat.” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abang mangsa, Pusa, 30, berkata, adiknya keluar rumah jam 7 malam bersama anak sulungnya itu menuju ke Rembau manakala isteri dan dua lagi anak kembar perempuannya pulang ke kampung lebih awal untuk meraikan Aidiladha.

“Saya tidak menyangka adik (Baji) yang mahu meraikan Aidiladha bersama keluarga mentua terbunuh dalam kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, ibunya, Ong Goi Mulling, 56 tidak membenarkan adiknya membawa Zamzuriery Muzameer kerana cuaca yang gelap.

“Saya sedih dengan kehilangan adik yang begitu rapat dengan saya dan kali terakhir kami bertemu adalah Jumaat lalu di rumahnya. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya. -myMetro