KUALA LUMPUR - Menyumbat kebocoran adalah antara langkah yang boleh
menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) walaupun ketika syarikat
penerbangan itu sedang bersedia mengadakan mesyuarat agung luar biasa
(EGM) bersejarah bagi pemegang saham minoriti pada 6 November ini.
Penasihat kepada Menteri Pengangkutan, Tan Sri M Kayveas berkata, sistem
sekarang memberi terlalu banyak kelebihan kepada mereka yang sudah
terlalu lama berada di situ.“Kebocoran dan kelebihan inilah yang
menyebabkan MAS tidak untung," kata Kayveas yang juga Presiden Parti
Progresif Penduduk (PPP).
Bersandarkan situasi kompleks yang menyelubungi MAS berserta dua tragedi udara, Kayveas menghujahkan bahawa sudah menjadi ‘tugas dan tanggungjawab’ kerajaan sedia ada untuk mengubah keadaan dan mengembalikan kegemilangan syarikat penerbangan negara itu.
Bersandarkan situasi kompleks yang menyelubungi MAS berserta dua tragedi udara, Kayveas menghujahkan bahawa sudah menjadi ‘tugas dan tanggungjawab’ kerajaan sedia ada untuk mengubah keadaan dan mengembalikan kegemilangan syarikat penerbangan negara itu.
MAS mencatatkan kerugian bersih RM1.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2013.
Syarikat itu juga melaporkan kerugian bersih RM443 juta bagi suku
pertama 2014 dan kerugian bersih RM307 juta untuk suku kedua 2014.
Pada EGM MAS nanti, pemegang saham minoriti akan mengundi bagi
menentukan sama ada pemilik kepentingan majoriti Khazanah Nasional
Berhad boleh mengambil alih baki 30.4 peratus saham MAS yang tidak
dimilikinya, agar Khazanah dapat menyuntik modal baharu untuk
melaksanakan pelan penstrukturan semula bertujuan memulihkan syarikat
yang bermasalah itu, tanpa mendedahkan pemilik saham minoriti terhadap
ragam penstrukturan semula.
Penerimaan tawaran 27 sen daripada Khazanah oleh pemegang saham
minoriti akan membuka laluan untuk penyahsenaraian MAS, membenarkan
Khazanah mengambil alih sepenuhnya pemilikan syarikat penerbangan
nasional itu.
Ini akan memberi fleksibiliti yang lebih baik bagi melaksanakan pelan
penstrukturan semula MAS selain menyusun struktur modal bersesuaian
untuk menangani keperluan pembiayaan yang besar dalam tempoh beberapa
tahun akan datang bagi mengekalkan operasi syarikat.
Pelan penstrukturan semula itu menetapkan sasaran jelas termasuk
kembali beroleh keuntungan menjelang akhir 2017 dan disenaraikan semula
pada akhir 2019.
Berdasarkan senario semasa MAS, penyahsenaraian adalah jalan terbaik
untuk memastikan keadilan kepada pemegang saham minoriti yang ditawarkan
jalan keluar pada premium kepada harga pasaran semasa.
Menerusi cara ini pemegang saham minoriti tidak akan terdedah kepada risiko dan ketidaktentuan yang berkaitan apabila MAS melaksanakan penstrukturan semula, memandangkan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pemilik saham minoriti untuk mengawalnya.
Menerusi cara ini pemegang saham minoriti tidak akan terdedah kepada risiko dan ketidaktentuan yang berkaitan apabila MAS melaksanakan penstrukturan semula, memandangkan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pemilik saham minoriti untuk mengawalnya.
Kayveas berkata, MAS merupakan syarikat penerbangan negara, sama
seperti 90 peratus syarikat penerbangan di dunia, dan amat penting bagi
syarikat penerbangan ini untuk kembali pulih dan terus beroperasi.
"Justeru, ini bukan menyelamatkan ataupun menyuntik lebih banyak wang.
Ini(MAS) kebanggaan negara, perlu dilakukan, sama seperti kita perlukan
jalan, kereta api dan MRT," katanya.
Kayveas yang pernah berkhidmat dengan MAS selama 16 tahun menambah:
"Kita perlu idea inovatif untuk membawa MAS mara dan satu entiti baharu
diperlukan," katanya.
Beliau berkata, menyelamatkan MAS bukan satu kejanggalan industri.
"MAS bukan yang pertama dalam industri penerbangan atau dunia
penerbangan yang menghadapi situasi ini. Banyak syarikat penerbangan
yang mengalaminya dan mengatasi situasi lebih buruk daripada MAS. Japan
Airlines terpaksa menutup syarikat lama dan memindahkan aset serta
menubuhkan syarikat baharu," katanya.
MAS dalam pekeliling bertarikh 15 Oktober 2014 menggesa pemegang saham
minoriti menerima harga tawaran 27 sen daripada pemegang saham majoriti
khazanah memandangkan pelan pemulihan bergantung kepada penerimaan
proses penswastaan bernilai RM1.38 bilion itu.
Bermula 1 Julai 2015, MAS akan menjadi syarikat baharu (NewCo), yang
akan menandatangani kontrak dengan pembekal berdasarkan terma-terma yang
adil serta mengambil kira masalah kewangannya. - Bernama