Sebuah laman Facebook pro-ulama PAS, El-Haraki, mendedahkan bukti yang menunjukkan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat lebih mengutamakan pemimpin PKR berbanding Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam status di laman Facebook tersebut, Suhaizan disifatkan sebagai memalukan Pemuda PAS ekoran kenyataannya yang berikrar akan bersama Pakatan Rakyat untuk berhimpun pada 28 Oktober ini bagi program solidariti bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata El-Haraki, Suhaizan sebagai Ketua Pemuda PAS tidak mengendahkan Abdul Hadi, namun lebih mengutamakan kes Anwar di mahkamah membuktikan "wala" (taat setia) Suhaizan kepada Ketua Umum PKR itu berbanding Presiden PAS.
"Ayah sendiri tidak dibela. Ayah sendiri tidak dipertahankan. Ayah sendiri tidak diendahkan.
"Wahai insan yang bernama Suhaizan Kayat, sungguh kamu ini mengaibkan & memalukan pemuda PAS !
"Wahai pemuda PAS sekalian, inilah bukti taatnya Suhaizan Kayat kepada PKR, wala'nya Suhaizan Kayat kepada PKR. Dibiarkan ayahnya bersendirian melalui liku perjuangan yang sangat getir," tulis admin El-Haraki, mengecam Ketua Pemuda PAS itu.
Suhaizan dalam satu laporan mengumumkan bahawa Pemuda PAS akan turut serta dalam satu himpunan, "Rakyat Hakim Negara", sebuah program jelajah yang diadakan bagi "menyelamatkan" Anwar dari dihumban masuk ke penjara.
Mahkamah Rayuan pada Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan kira-kira enam tahun lepas.
Kecaman El-Haraki itu turut mendapat sokongan ramai yang menganggap Suhaizan mengaibkan sayap parti Islam itu dan mendesak supaya dia dilucutkan dari jawatan Ketua Pemuda PAS.
"Presiden PAS kena dakwa kat mahkamah KT oleh org PKR tidak dihiraunya, yg dia cakna adalah Presiden PKR. Betul2 memalukan, lucutkan saja jawatan ketua pemuda PAS drpnya," komen Khairul Marhaini Anang di laman Facebook yang sama. -KedahNews.com