Elfira Loy Nafi Jalin Cinta, Aktor Indonesia "Syok Sendiri"?

Baharu saja pelakon Indonesia, Baim Wong, mengumumkan dirinya menjalin hubungan cinta dengan Elfira Loy menerusi media di negara seberang, tiba-tiba lain pula reaksi yang timbul dari pelakon kecil molek tanahair itu.

Elfira menegaskan bahawa dia tidak pernah meluahkan rasa cinta terhadap Baim dan menafikan sebarang hubungan istimewa di antara dua pelakon muda itu.

"Saya tidak bercinta dengan Baim," tegas Elfira, kesal dengan dakwaan yang dikeluarkan Baim sebelum itu.

Katanya, kenyataan kononnya dia menjalin hubungan cinta dengan Baim dikeluarkan oleh aktor seberang itu dan bukannya terbit dari mulut Elfira sendiri.

"Kenyataan yang dikeluarkan itu hanya dari mulut Baim. Bukan dari saya. Memang saya ke Jakarta, Indonesia untuk bertemu dengan Baim selepas dia mengajak saya ke majlis perkahwinan kawannya.

"Tetapi saya bukan pergi seorang. Ibu dan adik perempuan saya, Ezlisa Loy juga ada bersama. Baim hanyalah kawan biasa saya. Lagipun saya pernah memberitahu Baim saya tidak mahu bercinta lagi.

"Hakikatnya, kami tidak pernah bercinta dan hanya pernah berlakon bersama dalam telefilem Untuk Terakhir Kali pada 2012," jelasnya dalam satu kenyataan terbaru yang dipetik dari media.


Persoalannya, siapakah yang benar dalam gosip antara dua pelakon muda dua negara ini? Baim atau Elfira?

Menyembunyikan status hubungan cinta bukanlah satu perkara asing dalam dunia seni hiburan nusantara.

Namun, tidak dapat juga dinafikan tentang sesetengah artis dan selebriti yang bersikap "syok sendiri" dengan mendakwa mereka menjalin hubungan istimewa dengan seseorang sebelum ini, bukan? -KedahNews.com