Pelakon Emma Maembong berkata dia memakai purdah pada masa-masa tertentu mengikut keselesaannya pada ketika itu.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 22, bagaimanapun nafi
berimej seperti itu di khalayak kerana mahu mengelak daripada diserbu
peminat-peminatnya.
"Memang ada masanya saya berpurdah. Saja seronok nak cuba dan ia terpulang pada mood ketika itu.
"Saya tahu ada yang kata saya berpurdah kerana mahu elak daripada
dikenali peminat. Taklah, mana ada. Memandangkan saya baru sahaja
bertudung, jadi saya seronok mencuba pelbagai fesyen tudung untuk
melihat kesesuaian," katanya kepada mStar Online.
Emma berkata demikian bagi mengulas dia kerap kelihatan berpurdah di tempat awam baru-baru ini.
Selain itu dia turut memuat naik beberapa keping gambar berpurdah ketika berada di kawasan umum di Instagram.
Sementara itu, tambah Emma, walaupun dia berpurdah, ada juga beberapa peminat masih mengenalinya dan ingin bergambar bersama.
"Terkejut juga peminat datang menyapa 'Emma Maembong kan? Nak ambil
gambar boleh?'. Kata mereka, saya boleh dikenali menerusi mata sahaja
walaupun berpurdah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Emma baru sahaja muncul menerusi drama Astana Cinta Aleesa menerusi saluan TV9 setiap Selasa dan Rabu pukul 8.30 malam.
Selain itu, Emma turut sibuk menjalani beberapa penggambaran drama lain.
Kata kekasih pelawak Zizan Razak itu, dia bersyukur, walaupun sudah
bertudung sejak dua bulan lalu, dia masih lagi menerima tawaran lakonan
seperti biasa.
"Selama ini saya fikir, jika bertudung, rezeki lakonan mungkin akan
terbatas, tetapi Alhamdullilah, saya masih lagi mendapat pelbagai
tawaran lakonan. Semoga rezeki lakonan ini berkekalan InsyaAllah.
"Dalam pada itu, perniagaan tudung saya iaitu Hijab by Emma Maembong
turut mendapat sambutan. Ada juga merancang untuk perluaskan lagi
perniagaan, tengok dulu macam mana," tuturnya. -mStar