Gaji MB Selangor Akan Dikaji Semula, ADUN Tidak


Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Selangor akan mengkaji semula kadar elaun dan gaji empat jawatan utama di negeri itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.

Azmin berkata, Empat jawatan itu membabitkan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, dan Timbalan Speaker DUN.

Menurut Azmin lagi, kajian itu tidak membabitkan elaun yang diperuntukkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana dilihat berpatutan dan sesuai dengan tugasan mereka.

"Tidak melibatkan Adun, kita merasakan kenaikan kadar untuk Adun adalah berpatutan dan sesuai dengan tanggungjawab mereka," kata Azmin yang dipetik Mstar.com.my.

Semasa pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DUN Selangor pada 27 November 2013 telah meluluskan kenaikan mendadak bagi empat jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 14 April lalu, DUN Selangor membuat keputusan untuk memotong kadar kenaikan itu.

Pada ketika ini, gaji dan elaun menteri besar ialah RM14,175.1, manakala gaji exco adalah sebanyak RM15,000.

Sementara itu, gaji Speaker DUN ialah RM15,000, manakala timbalannya menerima gaji sebanyak RM12,000. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com