LIVERPOOL – Cristiano Ronaldo terus menyuntik inspirasi Real Madrid
sekali gus mendekati rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah
apabila penyandang juara itu mudah menundukkan Liverpool, 3-0 di
Anfield, awal pagi tadi.
Ronaldo menggegarkan jaring tuan rumah untuk gol pembukaan Real pada
minit ke-23, sekali gus merapati rekod penjaring terbanyak Raul iaitu 71
gol.
Penyerang Portugal itu kini sudah meledak 20 gol untuk musim ini dan
ketika Liverpool mencari semula rentak, giliran penyerang Perancis,
Karim Benzema pula meledak dengan dua gol pada minit ke-30 dan m-41.
Kemenangan Real itu menyaksikan juara 10 kali itu kini selesa
menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan mengutip mata maksimum
selepas tiga perlawanan.
Liverpool yang akan bertandang ke Bernabeu pada 4 November ini hampir
menyaksikan harapan agak pudar untuk melangkah ke pusingan 16 pasukan
kalah mati.
“Ia amat istimewa, ia gol pertama saya di Anfield dan saya amat gembira,” kata Ronaldo.
“Kami mengetahui Anfield adalah gelanggang yang sukar tapi kami
bermain cukup hebat dalam 45 minit pertama permainan serta pulang dengan
kemenangan,” katanya.
“Saya tidak perlu bimbang mengenai rekod jaringan dalam Liga
Juara-Juara Eropah. Saya tahu saya boleh mengatasinya. Saya dan Lionel
Messi kini semakin hampir,” katanya. – AFP