Sukan badminton Malaysia dikejutkan semalam dengan berita seorang
pemain utama badminton negara gagal dalam ujian dadah yang dilakukan di
Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Ogos lepas.
Dalam laporan khas laman web Harian Metro
hari ini, Pegawai Kanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang enggan
namanya disiarkan berkata, BAM dan organisasi berkaitan sudah
dimaklumkan mengenai keputusan itu selepas berahkhir temasya Sukan Asia
di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini.
Ia melibatkan sampel A pemain dimaksudkan yang didapati positif.
Jika benar, perkembangan ini pastinya mencalarkan imej sukan
badminton negara dan BAM sebagai badan induk badminton di negara ini.
Menurut laporan itu, BAM masih belum mahu mendedahkan identiti
sebenar pemain terbabit sehingga keputusan untuk sampel B dikeluarkan.
Bagaimanapun, pemain lelaki itu dilaporkan banyak memenangi kejohanan
di pentas antarabangsa serta turut mewakili negara di Incheon dan
memenangi pingat.
“Dia didapati positif dadah diharamkan Agensi Anti-Doping
Dunia (WADA). Tapi saya tidak ingat sama ada ia membabitkan bahan
terlarang anabolik steroid atau dadah perangsang prestasi. Saya percaya
dia tidak sengaja mengambil bahan itu, tapi sepatutnya harus lebih
berhati-hati.
“BAM tidak mahu membuat kenyataan rasmi sebelum keputusan
sampel B dikeluarkan.
"Semua pihak tahu mengenai perkara ini termasuk
Ketua Pegawai Operasi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Azizi
dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin,” katanya.
Di Sukan Asia, Malaysia telah menghantar pemain nombor satu dunia
Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh
Soon Huat, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Tan Boon Heong dan Hoon Thien How
sebagai wakil negara.
Berkenaan kes ini, pihak ISN juga belum membuat sebarang kenyataan
kerana mahu menunggu laporan penuh dahulu dalam masa terdekat.
Menjadi amalan kebiasaan, jika sampel A didapati positif, keputusan sampel B juga akan menunjukkan keputusan sama.
Sekiranya didapati bersalah, pemain terbabit bakal berdepan penggantungan dua tahun namun dia masih boleh mengemukakan rayuan. -Mynewshub.cc