Dalam ucapannya di Muktamar PAS baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang memberi pengakuan bahawa partinya akan terus bertahaluf dengan PKR
dan DAP, selagi rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang tidak berlaku
khianat.
Jika tidak kerana mukanya yang serius dan ketegasannya, kenyataan
Presiden PAS itu dianggap melucukan kerana PKR dan DAP yang terlebih
dulu melabelkan beliau serta partinya sebagai pengkhianat. Dua wakil
rakyat PAS yang dituduh pengkhianat dan barua diberi penghormatan
sebagai wira pula oleh PKR mahupun DAP.
Isu siapa khianati siapa dan sama ada PAS masih relevan dalam pakatan
pembangkang bukan saja perdebatan hangat dalam kalangan perwakilan di
muktamar, tetapi perbalahan sesama ahli dan penyokong, selain pemerhati
politik mahupun media. Kata Abdul Hadi, PAS bercanggah dengan PKR dan
DAP dalam krisis kepemimpinan Selangor.
Dia juga mengakui PAS berbeza dengan sekutunya dalam soal kalimah
Allah. Pastinya, PAS akan bertelagah lagi dengan PKR dan DAP berhubung
pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, yang akan dibawa ke Parlimen tidak
lama lagi.
Dalam ucapannya pada muktamar, Timbalan Mursyidul Am, Datuk
Dr Haron Din, berkata tahaluf siyasi PAS dengan PKR-DAP tidak semestinya
kekal. Beliau mengingatkan, Majlis Syura Ulama akan menilai kesan buruk
baik bertahaluf dengan parti sekular seperti PKR dan DAP kerana akan
ada kuasa membuat keputusan bila tiba masanya.
Bimbang PAS keluar pakatan
Bimbang dengan kemungkinan PAS bergabung dengan UMNO andainya keluar
dari pakatan pembangkang, Timbalan Presiden Mohamed Sabu dan beberapa
pemimpin PAS pro-Anwar Ibrahim dengan cepat memberi amaran. "Apa saja
perbezaan antara kita (dengan PKR dan DAP), ia biasa untuk dihadapi.
UMNO tetap musuh kita. Jangan cuba kelip mata atau hulur tangan kepada
PAS. Saya beri amaran."
Naib Presiden, Salahuddin Ayub mengingatkan bahawa Hadi yang
mencadang kewujudan pakatan pada tahun 2008 dan PAS memperoleh laba.
Misalnya di Selangor, daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
pada tahun 2008, PAS menang 15 pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13)
tahun lalu. Ini bermakna, PAS perlu kekal dengan pakatan pembangkang.
Wakil Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anwar Wafa pula mencadangkan
Majlis Syura kurang mengeluarkan kenyataan media supaya 'tidak serabut
kepala orang.' "Ulama banyak bercakap negatif mengenai tahaluf
menjadikan orang ramai semakin keliru dengan identiti PAS, "katanya.
Isu ini dimainkan dalam Harakah. Kononnya UMNO kecewa kerana PAS
terus mahu bersama pakatan pembangkang. Kolumnis Zulkifli Yahaya
berkata, isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang kedengaran sejak tahun 2008
membabitkan pemimpin yang bukan calang-calang dan menjadi punca
perpecahan parti (22 September tahun 2014). Beliau tidak menyebut nama,
tapi Abdul Hadi sendiri, bekas Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dan
Naib Presiden Datuk Dr Hasan Ali, pernah dikaitkan.
Anggota PAS tolak idea
Subky Latif berkata, PAS tidak berhajat bergabung dengan UMNO, malah
idea itu pasti tidak diterima ahli parti. (12 September tahun 2014).
Tulis Ahmad Lutfi Othman: "Ada gosip disebarkan mengenai kemungkinan
persefahaman politik antara PAS dan UMNO... tidak bermakna ada
kecenderungan untuk 'bermain mata' dengan UMNO. Ramai ulama menyifatkan
ratib dakwaan kerajaan perpaduan semata - mata fitnah untuk
memburuk-burukkan mereka." (22 September tahun 2014).
Tidak dapat dipastikan siapa yang mulakan gosip ini. Fitnah ini, jika
ada, pasti datangnya daripada ahli PAS juga kerana tiada respons rasmi
daripada UMNO. Tiada pemimpin utamaUMNO yang komen mengenainya dua tiga
minggu kebelakangan ini. Isu ini juga bukan agenda dalam Perhimpunan
Agung UMNO bulan depan, malah UMNO baru berentap dengan PAS di DUN
Pengkalan Kubor dan menang besar.
Jika PAS anggap tempoh kerjasama dengan UMNO pada tahun 1974 hingga
1977 adalah perit, UMNO juga serik. PAS menceritakan pengalaman pahit
dibuang daripada Barisan Nasional, tapi menyorok cerita bagaimana ia
mengkhianati perjanjian dengan UMNO sebagai punca kena keluar. Hari ini,
PAS adalah parti bermasalah, 'sakit' dan rosak dari dalam.
Parti ini berpuak-puak dan banyak kepala. Semua pimpinan penting
adalah sebahagian daripada masalah. Pemimpin PAS akui ada komplot
'langgar' Presiden dan kumpulan yang tidak lagi hormat ulama. Mereka
melabel sesama sendiri dengan gelaran munafik, hantu, pengkhianat dan
barua. -BH Online