Penduduk, Hashim Saud, 70, bersama rakannya melihat longgokan sekam padi yang dibuang dan dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan rekreasi Gunung Keriang di sini. - Foto BERNAMA |
ALOR SETAR – Kira-kira 500 penduduk yang tinggal berhampiran Gunung
Keriang dekat sini menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan
terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kaki gunung itu
sejak beberapa bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kampung Gunung Hilir, Abdul Halim Arifin, 60, mendakwa tempat tersebut
menjadi kawasan longgokan sampah dan sekam padi sejak beberapa bulan.
“Ada pihak luar yang datang membuang sampah, sekam padi dan kayu di
sini, ia membimbangkan penduduk kampung kerana tempat berkenaan menjadi
tempat pembiakan nyamuk selain mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.
“Permukaan jalan di kawasan tersebut juga mengalami kerosakan akibat
jentera berat yang membawa muatan sampah di kawasan itu,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Abdul Halim berkata longgokan sampah itu juga boleh menjejaskan
kedatangan pelancong ke Gunung Keriang yang terletak berdekatan dengan
tempat tarikan perlancongan seperti Muzium Padi dan Pusat Sains Negara.
“Tempat longgokan sampah itu berada berdekatan dengan Pusat Rekreasi
Gunung Keriang, Muzium Padi, Pusat Sains dan Keriang Hills. Saya bimbang
ia akan menimbulkan persepsi kurang baik kepada pelancong luar yang
melihat kawasan pelancongan di situ tidak dijaga,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga dan Pembangunan Insan
negeri Badrol Hisham Hashim berkata tindakan segera akan diambil.
Katanya pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu membersihkan
serta memantau gejala itu kerana ia melibatkan kawasan pelancongan. –
BERNAMA