SUNGAI PETANI – Seorang guru wanita dikhuatiri lemas setelah terjatuh
ke dalam Sungai Muda berdekatan Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil dekat
sini.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa, Siti Hajar Bakar, 48, yang
dikatakan terjatuh ke dalam sungai berkenaan pagi semalam masih
dijalankan setelah usaha yang dilakukan sejak petang semalam oleh
anggota penyelamat tidak menemui mangsa.
Timbalan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Rosdi
Ismail berkata kawasan operasi pada hari ini diperluaskan bagaimanapun
keadaan air sungai yang keruh serta deras melambatkan kerja-kerja
mencari.
Beliau berkata lapan anggota unit Skuba terbabit dalam operasi itu
dengan dibantu tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Petani.
Turut membantu dalam operasi itu anggota polis, Rela, Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk tempatan serta kaum keluarga
mangsa, katanya di sini hari ini.
Anggota Bomba terpaksa menggunakan bot sepanjang operasi kerana keadaan Sungai Muda yang dalam dan berarus deras.
Beberapa penduduk kampung mendakwa melihat seorang wanita
mundar-mandir di atas jambatan Syed Omar berhampiran Kampung Pantai
Cicar kira-kira 7 pagi semalam.
Rosdi berkata pihaknya mendapat petunjuk mangsa terjatuh ke dalam
Sungai Muda kerana ada kesan tapak kaki di atas paip besar di jambatan
itu serta penemuan sebelah selipar yang disahkan milik mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan awalnya di dua kawasan
berdekatan termasuk kawasan semak dan ladang kelapa sawit berdekatan
tempat kejadian dan dalam sungai di mana mangsa dipercayai terjatuh,”
katanya.
Mangsa yang tinggal di kawasan perumahan Taman Petani Jaya di sini
bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakar Arang di sini, datang ke
kawasan kejadian dengan memandu kereta dan meletakkan kenderaannya di
tepi jalan raya berdekatan Kampung Pantai Cicar. – BERNAMA