Hampir Sebulan "Mata Kiri Berdenyut-Denyut"...

Foto
SEORANG ahli keluarga mangsa kelihatan sebak ketika melihat keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah.
Kota Tinggi - "Makcik tidak merasa ada tanda Bibah hendak meninggal dunia termasuklah mimpi tetapi sejak sebulan lalu mata kiri selalu mengenyit," kata Supiah Anuar, 78.

Supiah ialah ibu kepada Siti Habibah Kasbon, 43, yang terbunuh selepas kenderaan Perodua Alza dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih malam tadi.

Turut tekorban dalam kejadian berkenaan ialah suaminya, Azhar Mat Ali, 43, dan madunya yang juga isteri pertama, Zaliha Johar, 42, selain tiga anak tiri iaitu Mohd Wazin, 20; Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 12.

Supiah berkata, Bibah seorang yang pendiam dan kali terakhir bertemunya ketika anaknya itu singgah ke rumah di Felda Air Tawar 5 di sini, bersama menantu selepas pulang memancing ikan di Desaru kira-kira seminggu selepas Aidilfitri lalu. 

"Jiran rumah yang dikenali sebagai Linda yang datang ke rumah kira-kira 7.30 pagi tadi memberitahu Bibah terbabit dalam kemalangan, itupun selepas dia menonton berita di kaca televisyen dengan memberitahu anak bongsu saya sambil menangis dan mengigil," katanya yang sebak. 

Beliau berkata, arwah yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik akan dikebumikan di tanah perkuburan Felda Air Tawar 5 di sini, sebaik jenazah tiba dari hospital di Bandar Muazam Kuantan. -myMetro