Hanya RM180 Setahun Untuk Kuliyah Al-Furqan!

Marang - Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu) membuka peluang kepada umat Islam berumur 18 hingga 65 tahun mengikuti kelas pengajian dewasa iaitu kelas pengajian Kuliyah Al-Furqan bagi pengambilan baru sesi Januari 2015.

Ketua Unit Kuliyah Al-Furqan Raslan Sidek berkata permohonan baharu dibuka dari 20 Okt hingga 3 Nov ini dan borang permohonan boleh didapati di Pejabat Pentadbiran IQ Terengganu.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan borang di laman web rasmi iqt.terengganu.gov.my dan menghantar borang itu selewat-lewatnya 3 November ini.

“Yuran pengajian untuk setahun pengajian hanya RM180 dan untuk pengambilan kali ini kami meletakkan sasaran 400 pelajar baru,” katanya, hari ini.

Raslan berkata, pelajar terpilih akan dipanggil menghadiri sesi temuduga bagi menentukan tahap kelas yang akan diikuti.

Sehingga ini, hampir 2,000 pelajar sedang mengikuti kelas pengajian di institut itu. - Bernama