Harakah Kini Beralih Arah Jadi Lidah Rasmi PKR?


Tindakan Harakah yang menyiarkan laporan berhubung Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di muka depan akhbar itu dipersoal sama ada akhbar tersebut merupakan lidah rasmi PAS atau kini berubah menjadi lidah rasmi PKR.

Harakah dalam keluaran terbarunya memaparkan tajuk besar, "Fitnah 2 Untuk Pecahkan Pakatan" dengan gambar Anwar terpampang menghiasi muka depan akhbar rasmi PAS itu.

Tindakan Harakah itu dibandingkan dengan akhbar Sinar Harian yang lebih memilih tajuk gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu keputusan Majlis Syura Ulama PAS tidak dipertikai oleh mana-mana ahlinya.

Persoalan tersebut diajukan oleh sebuah laman fanpage di Facebook pro-PAS, El-Haraki, yang dilihat condong mempertahankan kedudukan golongan ulama di dalam parti tersebut dan menghentam kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

"Apakah perbezaan di antara akhbar Sinar Harian & Harakah ini?

"Sinar Harian (muka depan), Muka depan yang memaparkan kenyataan Tuan Guru Presiden. Harakah (muka depan), Muka depan yang memaparkan kenyataan berkait Anwar Ibrahim.

"*Jangan pula macai mengatakan itu "UG" dan ini "UG" kerana akhbar Sinar Harian memaparkan kenyataan Tuan Guru Presiden. Tetapi apa yang berlaku kemungkinan besar adalah mereka juga sudah bersiap sedia bersama Kepimpinan Ulamak," kata admin yang mengendalikan laman sosial tersebut.

Ekoran kelantangan El-Haraki menghentam PasMa dan golongan liberal di dalam PAS, laman fanpage tersebut dituduh sebagai "ajen UMNO" oleh segelintir penyokong parti itu yang seolah-olah "kepanasan".

"Alheraki agen umno puiii..," kata seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Gadafie Harmain.

Sebelum ini, El-Haraki dilihat aktif membuat liputan Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang menyaksikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan golongan bukan ulama di dalam parti itu dibidas bertalu-talu oleh majoriti perwakilan.

Selain itu, dalam mempertahankan Presiden PAS, El-Haraki lebih banyak dilihat memberi fokus kepada sokongan moral kepada Abdul Hadi yang berdepan tindakan khianat rakan sekutu parti itu, PKR dan DAP. -Amir Hamzah/UtaraNews.com