KEPADA bakal ibu, saat menggembirakan ketika hamil adalah bila suami sama-sama berkongsi perasaan tentang kehamilan itu.
Lebih menyeronokkan saat tangan suami di atas perut untuk merasakan
tendangan bayi dan aktiviti lain si kecil seperti menggeliat atau
berpusing.
Bagi berkongsi keseronokan dan pengalaman, pengeluar produk barangan
bayi dan kanak-kanak, Huggies menghasilkan satu ciptaan menarik bagi
pasangan bakal ibu-bapa, iaitu tali pinggang simulator pergerakan bayi
di dalam kandungan.
Menakjubkan, alat ini membolehkan bakal bapa merasai pergerakan bayi, seperti dirasai oleh ibu-ibu hamil.
Simulator ini dihasilkan sempena Hari Bapa namun tidak dijual.
Seakan-akan tali pinggang, ia dihubungkan dengan perut ibu dan bakal
bapa. Apa jua pergerakan bayi yang dirasai oleh ibu turut dirasai oleh
bapa. Menarik bukan?
Visual pengalaman bapa yang menggunakan simulator ini telah dimuatnaik di Youtube dan membuatkan ramai penonton teruja.
Sungguh menyentuh perasaan melihat bakal-bakal bapa menitiskan air mata dengan gelagat bakal zuriat mereka.
Simulator ini mampu mengesan gerak bayi pada kandungan berusia enam bulan ke atas.
Jika simulator ini dijual di pasaran terbuka, mungkin ia mampu mengeratkan lagi kasih sayang antara pasangan bakal ibu bapa terutama sekali kehamilan di peringkat awal.
Atau mungkin selepas ini, ada alat yang boleh direka untuk bakal bapa merasai kontraksi si ibu ketika saat melahirkan pula?
Nak juga tengok apa perasaan sang gagah perkasa ketika berdepan
dengan saat paling suspen dan mendebarkan itu.. kental ke tak agaknya..
Jangan marah yer bapa-bapa, gurau saja!
Sumber: Mynewshub.cc