Jika anda seorang lelaki dan tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak
tiga kali berturut-turut , dan berada di Kelantan, anda akan
dipenjarakan selama setahun.
Itulah pendekatan yang diambil kerajaan negeri Kelantan yang
diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan
Hubungan Serantau Negeri Datuk Nassuruddin Daud.
Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa melaksanakan tindakan
berkenaan mengikut Seksyen 104, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Kelantan yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 dan
penjara setahun bagi kesalahan itu.
“Jumaat adalah hari yang mulia, tiada sebab golongan lelaki meninggalkan solat Jumaat yang hanya diadakan seminggu sekali. Setakat
ini hanya seorang lelaki didakwa berhubung kesalahan itu,” kata ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kelantan itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kijang Wan Ubaidah Omar di pada sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kelantan semalam.
Wan Ubaidah inginkan penjelasan dari kerajaan negeri berhubung hukuman untuk mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.
Nassuruddin yang juga ADUN Meranti berkata, sesiapa sahaja termasuk
Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid boleh membuat aduan berhubung
kegagalan individu bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap
mereka.
“Mereka yang membuat aduan perlu mengisi borang sebelum diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHEAIK).
“Bahagian penguatkuasa jabatan akan berbincang dengan imam. Pada masa
sama sebuah buku diberikan kepada imam dengan mengarahkan individu
berkenaan menunaikan solat di masjid berkenaan sebanyak tiga kali
berturut-turut.
“Imam yang dipertanggungjawab akan mencatatkan kehadiran individu
itu. Sekiranya mereka gagal hadir dalam tempoh berkenaan, tindakan akan
diambil,” katanya memetik laporan akhbar Berita Harian.