Imarahkan Islam, Kedah Bakal Wujudkan Pusat Tarannum Al-Quran

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mewujudkan Pusat Tarannum dalam masa terdekat ini bagi melatih dan melahirkan qari dan qariah di negeri ini untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Perancangan untuk mewujudkan pusat itu akan dikelolakan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata kerajaan negeri yakin usaha itu boleh dicapai jika ada program yang teratur dan dikawal selia guru yang mahir.

Katanya, ketika ini adalah qari dari Kedah yang terkenal bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah ke peringkat antarabangsa seperti Ismail Hashim dan Ghani Abdullah.

"Sebab itu di peringkat kerajaan negeri kita hendak mewujudkan pusat tarannum iaitu bagi melatih 10 orang qari dan qariah di Pusat Dakwah di bawah kelolaan Yayasan Islam Negeri Kedah," katanya pada sidang media sempena Program Mai Mengaji Kedah.fm di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Mohd Rawi berkata pertandingan akhir Program Mai Mengaji Kedahfm bagi musim kedua akan diadakan secara langsung dari auditorium Kedahfm pada Sabtu ini bermula 8.30 malam.

Katanya seramai 10 peserta telah terpilih untuk ke peringkat akhir.

"Program Mai Mengaji Kedahfm adalah selaras dengan usaha kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang menguasai tajwid dan tarannum," katanya.

Rancangan Mai Mengaji Kedahfm merupakan program yang mengetengahkan dan melahirkan bakat-bakat muda dalam penyampaian bacaan Al-Quran secara bertaranum dengan pesertanya berusia antara 15 hingga 23 tahun.

Di peringkat awal, peserta telah memperdengarkan bacaan Al-Quran secara langsung di konti Kedahfm melalui talian telefon. - Bernama