SKUDAI – Selepas empat tahun mengharungi pelbagai rintangan, Hazzirah
Izzati Mat Hashim, 24, boleh tersenyum lebar apabila berjaya menamatkan
pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Matematik di Universiti
Teknologi Malaysia (UTM).
Lebih membanggakan, kejayaan penyelidik muda di Jabatan Sains
Matematik, Fakulti Sains UTM itu membolehkannya muncul sebagai penerima
termuda ijazah kedoktoran dalam negara dan institusi pengajian tinggi
(IPT) berkenaan sekali gus melayakkannya menerima sijil Malaysia Book Of
Records.
Hazzirah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, tidak pernah
menyangka akan menerima gelaran itu pada usia berkenaan, namun gembira
dengan pencapaian paling membanggakan dalam hidup kerana peluang diberi
digunakan sebaik mungkin.
Anak kedua daripada lapan adik beradik itu berpegang pada prinsip
berani dan tidak mudah berputus asa, menganggap ia adalah kunci
kejayaannya sehingga ke peringkat berkenaan selain menjadikan pakar
penyelidik dari luar negara sebagai rujukan bagi menambah maklumat
sepanjang tempoh pengajiannya.
“Bidang matematik tulen yang saya pilih ini belum berkembang luas dalam negara menyebabkan rujukan pakar di sini agak terbatas.
"Alhamdulillah saya mendapat bantuan daripada penyelia yang memperkenalkan penyelidik luar negara yang dihubungi menerusi emel.
“Tetapi, kalau kita dapat belajar secara berhadapan mungkin lebih
mudah. Namun, itu saya anggap sebagai cabaran walaupun ada ketika saya
hampir putus asa. Tetapi sokongan keluarga yang memberi sepenuh
kepercayaan membuatkan saya bersemangat.
“Namun, saya tidak pernah merancang untuk menerima PhD pada umur
begini, tetapi apa sahaja peluang yang diberi, saya akan sedaya upaya
merealisasikannya,” katanya di Bangunan Canselori UTM, di sini, semalam.
Beliau yang baru mendirikan rumah tangga pada 13 September lalu bersama
pasangannya Muhamad Najib Zakaria, 26, bercita-cita menyambung
impiannya menjadi seorang pensyarah dengan berkhidmat di IPT tersebut
supaya dapat melahirkan lebih ramai lagi pemegang PhD di kalangan
mahasiswa serta mahasiswi.
“Saya mendaftar ke sini (UTM) pada usia 18 tahun dan UTM banyak
mendewasakan saya menjadi seorang yang berilmu. Saya telah menghantar
permohonan di beberapa universiti dan sekiranya ditawarkan menjadi
pensyarah, UTM adalah pilihan utama saya menabur bakti.
“Memandangkan sudah berkahwin, saya perlulah mendapatkan nasihat
daripada suami yang kini akan melanjutkan pengajian di peringkat PhD
dalam bidang Matematik Gunaan,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar
menyifatkan kejayaan Hazzirah sebagai satu pencapaian yang membanggakan
seluruh warga UTM serta wajar menjadi contoh dan pembakar semangat
penuntut lain dalam bidang diceburi pada masa akan datang. -Sinar Harian