Merujuk kepada beberapa artikel di media sosial yang menerbitkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Hajah Nancy Shukri dalam jawapan bertulis beliau kepada soalan oleh YB Tuan Lim Guan Eng (Bagan) bertarikh 7 Oktober 2014 berhubung tindakan ke atas kes membabitkan Dato’ Ibrahim Bin Ali, Presiden PERKASA.
Perlu diambil perhatian bahawa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hanya memetik sebahagian daripada jawapan penuh sehingga menimbulkan salah tafsiran dan salah faham terhadap maksud sebenar yang telah dikemukakan.
Jawapan yang telah dikemukakan oleh YB Hajah Nancy adalah berdasarkan kepada proses perundangan. Jawapan itu adalah justifikasi yang telah diberikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa pendakwaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tentang kenapa tiada pendakwaan diambil dalam kes tersebut.
Dalam jawapan asal yang telah dikemukakan sebelum ini, jelas dinyatakan bahawa keputusan untuk tidak mendakwa telah diambil setelah menimbang hasil siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap kes tersebut. Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa pihak PDRM dan AGC telah pun mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan proses perundangan sedia ada iaitu dengan menjalankan siasatan ke atas aduan yang telah dilaporkan, dan kemudiannya membuat pertimbangan yang teliti terhadap hasil siasatan tersebut sebelum memutuskan bahawa tiada keterangan atau bukti yang kukuh bagi mendakwanya di mahkamah. Maka dalam hal ini, pihak terbabit telah mematuhi proses-proses yang dinyatakan. Ini bermakna tohmahan bahawa tiada tindakan diambil ke atas individu tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Keputusan AGC untuk tidak mengambil pendakwaan adalah setelah meneliti konteks ucapan yang telah dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali yang berlandaskan kepada semangat dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung sekatan pengembangan agama lain di kalangan penganut agama Islam.
Ini bukanlah kali pertama YB Menteri menjawab di Parlimen berhubung dengan persoalan mengapa pendakwaan tidak dilaksanakan ke atas individu tertentu dan dakwaan bahawa pendakwaan dilakukan secara terpilih.
Dalam jawapan-jawapan beliau sebelum ini, telah berulang kali dijelaskan secara konsisten bahawa keputusan sama ada hendak mengemukakan pertuduhan ataupun tidak adalah diambil berdasarkan kepada keterangan dan fakta kejadian tanpa mengambil kira latar belakang agama, kaum atau kecenderungan politik. Keputusan tersebut dibuat dengan adil dan tidak memihak kepada sesiapa dan berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya.
YB Hajah Nancy sedar ada pihak yang tidak senang hati dengan jawapan yang telah diberikan, lebih-lebih lagi setelah kenyataan penuh yang asal tidak diterbitkan oleh sesetengah pihak tetapi hanya memetik sebahagian daripada kenyataan tersebut sehingga menyebabkan fakta asal tidak diketahui dan konteksnya telah disalah tafsir serta mengelirukan. Ini telah mengakibatkan persepsi yang negatif di kalangan rakyat terutamanya bagi mereka yang kurang memahami akan proses perundangan.
Sejak menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan P200 Batang Sadong dari tahun 2008, YB Hajah Nancy mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat dan pembangunan di kawasan tersebut tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
Masyarakat yang beragama Kristian di Batang Sadong khasnya, telah melihat sendiri bahawa keprihatinan dan kebertanggungjawaban beliau terhadap keperluan mereka. Ini terbukti apabila banyak rumah-rumah ibadat dibina, dibaik pulih dan disediakan untuk kegunaan penganut agama Kristian di Batang Sadong sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Bukan itu sahaja, malah penganut agama lain seperti penganut beragama Hindu di Kuching turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Pusat Khidmat Rakyat beliau bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti keagamaan mereka.
Pada masa yang sama, YB Hajah Nancy turut merasai dan memahami kegusaran serta ketidakpuasan hati penganut-penganut agama lain terhadap kenyataan yang telah sengaja disalahlaporkan konteksnya. Lebih-lebih lagi sebagai individu yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai darah kacukan di mana beliau sendiri mempunyai saudara mara yang berlainan agama. Dan khususnya di Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik dan agama yang hidup dalam keadaan harmoni dan tahap toleransi yang tinggi selama ini.
Tidak dinafikan bahawa kita berada di dalam suasana di mana pihak pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperlekehkan Kerajaan. Mereka menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita yang boleh memberi kesan negatif terhadap Kerajaan.
Mereka cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman pembangkang dalam parti mahupun dalam negeri masing-masing. Rakyat Malaysia perlu diingatkan bahawa ini peluang pembangkang untuk menjatuhkan maruah Barisan Nasional (BN).
Dengan penjelasan ini, beliau berharap rakyat di negara ini dapat melihat ketelusan Kerajaan dalam mengendalikan proses perundangan serta bertenang dan tidak membuat kenyataan atau perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan mengguris perasaan masyarakat majmuk di negara kita. Rakyat juga diingatkan agar jangan mudah terpengaruh oleh propaganda pembangkang.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat YB Hajah Nancy Shukri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri