Ekoran berlakunya siri jenayah yang membabitkan kehilangan wang lebih RM1 juta dari mesin ATM milik beberapa institusi kewangan baru-baru ini, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiarkan beberapa imej suspek kes berkenaan.
Sumber dari laman sosial rasmi Facebook PDRM, pihak berkuasa itu sedang rancak melakukan siasatan dengan melancarkan operasi khas yang diberi nama "Ops Albatross" untuk mengesan dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Selain memaparkan beberapa wajah suspek yang dipercayai warga asing sebagai dalang mencuri wang di mesin ATM itu, PDRM turut menjelaskan modus operandi penjenayah yang sedang diburu itu.
Beberapa mesin ATM milik Affin Bank, Bank Ar-Rajhi dan Bank Islam dilaporkan telah digodam menggunakan kad sim telefon bimbit sehingga mengakibatkan kehilangan wang berjumlah lebih RM1 juta dalam kejadian baru-baru ini.
Berikut adalah wajah-wajah suspek berkenaan dan kenyataan media dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kormesil (JSJK), Dato' Sri Mortadza Nazrene. -KedahNews.com