Isu PasMa: Sikap Bisu Mahfuz Wajar Dipersoal

Setahu penulis, belum ada lagi sebarang kenyataan rasmi dari Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar atau Dewan Ulama PAS Kedah berhubung isu kewujudan sebuah NGO, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dianggotai majoriti ahli parti itu.

Bermula dari PAS Terengganu, PAS Pusat baru-baru ini melalui Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan larangan keras terhadap ahli-ahli parti itu untuk tidak menyertai NGO tersebut.

Terkini, PAS Pahang yang diketuai Tuan Ibrahim turut menegaskan perkara yang sama kepada ahli-ahlinya.

Namun Mahfuz dilihat masih lagi berdiam diri meskipun Timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi secara terang-terangan menonjolkan diri sebagai Presiden PasMa.

Sebelum ini, bekas Pengarah Urusetia Unit Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahya dalam satu kenyataannya di akhbar rasmi parti itu menegaskan pandangan supaya PasMa dibubarkan saja.

Menurut Zulkifli, meskipun PasMa mengaku pertubuhan itu merupakan sebuah pertubuhan bukan politik.

Namun katanya, kecenderungan PasMa yang hanya membicarakan tentang politik dan menjadikan agenda menghentam kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadikan ia lebih menjurus kepada bidang politik.

Justeru itu katanya, PasMa lebih baik sekiranya dibubarkan.

"Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah PasMa sedar bahawa bagaimana mulia dan murni pun niatnya tetapi kehadirannya akan membawa lebih banyak mudarat terhadap PAS sebagai jemaah Islam.

"Elok bubarkan saja PasMa," kata Zulkifli yang dipetik dari Harakah, sebelum ini.


Namun kenyataan Zulkifli tersebut tidak boleh diambil kira mewakili PAS Kedah memandangkan dia bukan individu yang mengetuai parti di negeri jelapang padi tersebut dan ia hanyalah mewakili pandangan peribadinya sahaja.

Namun sikap berdiam diri Mahfuz mengenai keterlibatan Phahrolrazi sebagai pemimpin tertinggi PasMa kini menjadi "buah mulut" di kalangan ahli-ahli PAS Kedah yang mempersoal tentang tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor itu.

Penulis khuatir sekiranya Mahfuz terus bersikap tidak mempedulikan "aktiviti luar" Timbalannya itu akan menyebabkan pergolakan dan pepecahan serius di kalangan ahli dan para penyokong PAS di Kedah.

Rasanya, cukuplah melihat bagaimana PAS Kedah teruk bercakaran sesama sendiri hingga menyebabkan kehilangan kuasa di negeri itu ekoran "perang sengit" yang berlaku di antara Phahrolrazi dan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, Allahyarham Dato' Seri Azizan Razak.

Seandainya pepecahan seumpama itu berlaku di dalam PAS Kedah, tidak hairanlah jika ramai pula yang beralih arah dan lebih meyakini UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik di negeri tersebut, bukan? -Amir Hamzah Al-Asad