Semuanya gara-gara penganjuran program I Want To Touch A Dog yang diadakan Ahad lepas di sebuah taman rekreasi di Bandar Utama.
Program terbabit mencetuskan perdebatan hangat di kalangan umat Islam
di mana ada yang menyifatkan aktiviti seumpama ini sengaja diada-adakan
bagi membangkitkan kemarahan orang Islam di Malaysia.
Hakikatnya, isu memegang anjing serta menjadikan anjing sebagai
haiwan peliharaan di kalangan selebriti tempatan sudah ditimbulkan sejak
dahulu lagi malah sebilangan artis teruk dikecam peminat gara-gara
membela serta memegang anjing yang tergolong sebagai najis berat atau
mughallazah.
Antara artis yang pernah menimbulkan kontroversi bergambar dengan
anjing ialah Nanu Baharuddin, Sharifah Sofia, Din ahli kumpulan
Estranged, Adira Suhaimi dan Baby Erin daripada kumpulan Res2.
Bagaimana pun, gambar di atas adalah
kontroversi lama malah beberapa artis terlibat seperti Adira dan
Sharifah Sofea pada hari ini sudah pun berhijrah menjadi muslimah yang
lebih baik apabila memilih untuk berhijab, alhamdulillah.
Sememangnya, Islam tidak melarang penganutnya menyentuh anjing jika
bersebab tetapi jikalau niat sekadar untuk suka-suka apatah lagi
menjadikan anjing haiwan peliharaan, maka hukumnya jelas dilarang.
Seelok-eloknya jika hendak melakukan perkara yang diragui daripada
segi hukum agama, apa kata bertanya dahulu pada mereka yang lebih arif
dan pakar mengenainya jadi tidaklah akidah serta pegangan agama kita
terpesong.
Tujuan entri ini ditulis bukanlah untuk menuding kesalahan terhadap
mana-mana pihak tetapi sekadar renungan untuk kita sama-sama renung dan
fikir-fikirkan. -Mynewshub.my