"Itu Akan Terus Menjadi Angan-Angan Kosong UMNO" - Exco Kerajaan Negeri Kedah

Alor-Setar - Melihat PAS bersatu dibawah satu payung Barisan Nasional (BN) mungkin akan menjadi angan-angan kosong UMNO, parti politik tunjang kerajaan sering menjemput parti Islam itu untuk duduk semeja untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Suraya Yaacob berkata, pihak UMNO hanya mampu menjemput, namun PAS seolah-olah enggan bersama menyebabkan kemungkinan bagi kedua parti itu berada di bawah BN bersama menjadi hampir mustahil untuk berlaku.

"Kita hanya boleh 'invite' (jemput) saja laaa..kita pun dah invite lama dah pun...cuma (PAS) tak terima saja...

"Tapi saya rasa itu akan terus menjadi angan-angan kosong UMNO" mengulas mengenai seloroh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengajak PAS duduk bersama BN setelah teruk dibuli PKR dan DAP sepanjang parti itu bersama Pakatan Rakyat.

Menurut Suraya, berkemungkinan kekangan yang berlaku terhadap PAS itu adalah kerana dasar kedua parti yang jelas berbeza, selain kegagalan parti Islam itu mencari satu titik persamaannya dengan UMNO untuk berada bersama di bawah BN.

Ketua Wanita UMNO Pendang itu turut berpandangan bahawa sekiranya PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekalipun, beliau menjangkakan parti tersebut tidak akan sesekali menyertai BN dan lebih rela bersendirian sebagai sebuah parti sebagaimana asalnya.

"Kalau dia berpecah pun dari Pakatan Rakyat, saya jangka dia (PAS) tidak akan masuk BN.. dia boleh jadi independent sorang-sorang dia pun takpa", kata Suraya sejurus merasmikan Seminar Pendekatan Wasatiyyah: Peneraju Keluarga Seimbang, anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) bersama Kerajaan Negeri Kedah.

UMNO sebelum ini sudah berkali-kali mengajak PAS untuk duduk bersama mencari titik persamaan bagi memungkinkan parti Islam itu bersatu di bawah payung BN demi menyatupadukan ummah yang kian berpecah hanya kerana dasar politik yang berbeza.

Namun sikap PAS yang meletakkan pelbagai alasan dan syarat, termasuk menolak ajakan tersebut menyebabkan ramai umat Islam di Malaysia yang kecewa dengan dua parti politik itu. -Utaranews.com.