KUALA TERENGGANU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan
menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara ‘I Want To
Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park,
One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak
sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak
bertanggungjawab pihak npenganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti
umat Islam di negara ini.
Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie
sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam
najis mughallazah (berat).
“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali
pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah
menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.
“Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan
dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada,” katanya kepada pemberita
mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa
daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.
Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini, malam tadi.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan
mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan
mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari
segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.
Penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ oleh Syed Azmi Alhabshi
yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk
mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.
Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi itu dibanjiri
ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh
anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di
samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan
kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata
pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.
“Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau
tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok
(berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz,” katanya. – BERNAMA