KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Universiti
dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) memandangkan peruntukan undang-undang
sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu pencerobohan haram di
Universiti Malaya (UM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu itu
boleh ditangani pihak universiti tanpa perlu penambahan atau pindaan
kepada akta sedia ada.
“Lagipun, ini adalah urusan universiti. Pihak kementerian tidak
pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti, baik dari segi
kegiatan, proses pembelajaran dan sebagainya termasuk apa yang berlaku
di UM baru-baru ini,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian sebagai
mengulas insiden membabitkan 300 belia termasuk beberapa pelajar
institusi pengajian tinggi (IPT) yang merempuh masuk pintu pagar UM pada
Isnin malam untuk menghadiri ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang kononnya dijadual berlangsung di dewan universiti
itu.
Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.
Pihak UM sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu dan sedang
menjalankan siasatan dalaman terhadap pelajar terbabit mengikut AUKU
dan perlembagaan universiti itu.
Muhyiddin berkata, beliau sudah dimaklumkan bahawa perkara itu sedang
diperhalusi pihak pentadbiran universiti, Naib Canselor dan Timbalan
Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.
Katanya, tanggungjawab menangani isu itu terserah kepada
kebijaksanaan pentadbiran universiti itu untuk mengguna pakai peruntukan
AUKU berdasarkan fakta-fakta yang ada.
“Kalau terbukti kesalahan dari segi peraturan universiti di bawah
AUKU atau undang-undang lain seperi Kanun Jenayah ataupun undang-undang
keselamatan, maka terserah kepada pihak pentadbiran universiti untuk
mengambil tindakan yang sesuai,” katanya.
“Kalau sesiapa masuk tanpa kebenaran tanpa membuat apa-apa pun, ia
adalah satu kesalahan kerana kawasan kampus universiti adalah kawasan
persendirian. Apatah lagi, jika melakukan kesalahan-kesalahan yang saya
lihat melalui gambar media berbentuk keganasan,” katanya. – BERNAMA