Jet Pejuang Australia "Langgar" Indonesia

Dua jet pejuang jenis Sukhoi milik Tentera Udara Indonesia bertindak memintas sebuah pesawat ringan dari Australia sebelum pesawat berkenaan diarahkan mendarat kerana memasuki ruang udara Indonesia tanpa kebenaran.

Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Chahyanto berkata, pesawat jenis Beechcraft didaftarkan di Australia itu sedang dalam penerbangan dari Darwin ke Cebu di Filipina ketika dipintas.

Juruterbang pesawat akhirnya akur dan mendarat di Lapangan Terbang Manado, di bahagian utara Pulau Sulawesi, Indonesia.

Hanya juruterbang dan pembantu juruterbang, kedua-duanya warga Australia, saja berada di dalam pesawat terbabit, seperti dipetik laporan AFP.

Kedua-duanya kemudian menjalani proses soal siasat oleh pihak tentera dan kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk soal siasat lebih lanjut.

“Mereka tidak mempunyai surat pelepasan yang membenarkan mereka memasuki ruang udara Indonesia.

“Tapi oleh kerana mereka orang awam dan bukan anggota tentera, kami menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, J A Barata berkata, pesawat yang menceroboh ruang udara Indonesia itu pada mulanya dilihat di Ambon, ibu negeri Pulau Maluku dan diminta mendarat pada masa itu.

“Mereka tidak mengendahkan jadi mereka dipaksa supaya mendarat di Manado,” katanya.

Sumber: Mynewshub.my