Jimat Yang Membahayakan Nyawa!

Foto
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa barangan yang dirampas.
Lima daripada 10 atau 50 peratus pemilik kenderaan di negara ini lebih suka memilih alat ganti tiruan walaupun sedar risiko kemalangan menanti mereka. 

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata, pihak berkuasa menghadapi kesukaran mengekang kebanjiran alat ganti kenderaan tiruan kerana permintaannya amat tinggi. 

“Situasi ini menunjukkan rakyat Malaysia memilih untuk ‘berjimat’ dengan cara yang salah. Banyak perkara yang boleh berjimat, tetapi bukan perkara yang boleh mendatangkan risiko kepada diri dan keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar ini, semalam yang mendedahkan mengenai sikap ramai pemilik kenderaan negara ini yang lebih gemar memilih alat ganti tiruan hanya kerana ingin menjimatkan kos.

Menurutnya, orang ramai perlu sedar bahawa penggunaan alat ganti tiruan sebenarnya lebih membazir kerana ia tidak tahan lama dan perlu diganti baru dalam tempoh singkat. -myMetro