JPJ Kedah Jumpa Penjual Aksesori Kenderaan 1 November

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah akan melakukan program advokasi dalam masa terdekat terhadap pemilik premis menjual aksesori kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kedah Shahrul Azhar Mad Dali berkata pihaknya perlu menjelaskan mengenai undang-undang sedia ada kerana terdapat aksesori yang melanggar undang-undang seperti lampu ‘High-Intensity Discharge’ (HID) dan lampu ‘Strobe’.

Katanya, program advokasi perlu dilakukan secara besar-besaran kepada orang ramai dan pengusaha pusat aksesori kenderaan, sebelum penguatkuasaan dan nombor pendaftaran dikuat kuasa oleh JPJ bermula 1 Nov ini.

Beliau berkata pihaknya bercadang untuk mengatur pertemuan dengan pengusaha aksesori kenderaan bagi menerangkan lebih lanjut mengenai penyalahgunaan aksesori yang boleh mengundang kemalangan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi membanteras penjualan aksesori yang menyalahi undang-undang. 

"JPJ tiada kuasa untuk merampas barangan tersebut dan kita hanya mampu memberi kesedaran kepada mereka,” katanya kepada pemberita dalam Taklimat Khas bersama-sama Skuad Muda 1JPJ Kedah di Ibu Pejabat JPJ negeri di sini malam tadi. – BERNAMA