Kalau Semua Rakyat Macam Pakcik Jamil, Amanlah Malaysia...

"Dulu lain sekarang lain...dulu Melayu, Cina dan India hidup macam satu keluarga. Kita berkongsi manis dan pahit, lebih-lebih lagi bila ada perayaan suatu kaum, kita merayakan bersama-sama...gembira betul.

"Sekarang negara maju, rakyat belajar tinggi, banyak pengetahuan tetapi semangat kekeluargaan dan perpaduan itu 'kurang'," begitulah luahan hati Jamil Mohd Yusof, 76, mengimbas kembali zaman mudanya dalam satu temu bual khas dengan Bernama TV, baru-baru ini.

Dalam kesibukan masyarakat Hindu membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali tahun ini, Jamil menjadi topik perbualan menarik semua lapisan masyarakat di negara ini termasuk yang berada di luar negara, selepas kisahnya dimuatkan dalam laman media sosial seperti Facebook, Youtube, WhatsApp dengan 'klip video' pendek selama 1 minit 10 saat.

Dalam klip tersebut yang berkonsepkan 'Nothing Greater Than Being Malaysian,' Jamil mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Deepavali' kepada semua penganut Hindu di negara ini, dalam bahasa Tamil dengan fasih.

'Enakku therinjavungga theriyaathavungga ellorukkum ennudaiya Deepavali Vaalthukal' (Selamat Hari Deepavali kepada semua orang yang mengenali saya dan yang tidak kenal pun).


Rata-ratanya semua rakyat Malaysia daripada pemimpin tertinggi, ahli politik, ahli akademik, peniaga, pelajar, orang kampung serta pekerja asing menyifatkan klip video itu sangat bermakna dan signifikan dengan mesej padat, selain melabelkan beliau sebagai 'Rakyat Malaysia Tulen'.

P Elango, 45, pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) yang tidak dapat menyambut Deepavali tahun ini berikutan kematian ayahnya berkata, klip dwibahasa, Melayu dan Tamil dengan terjemahan bahasa Inggeris itu menyentuh hati beliau.

"Biasa kalau Deepavali, iklan Petronas yang menjadi tarikan utama dengan penampilan konsep baharu. Tahun ini, klip ini pula begitu popular dengan mesejnya. Walaupun Pak Cik Jamil orang ladang, tetapi mesejnya cukup bagus," katanya.

Elango yang sempat berkongsi klip video tersebut dengan saudara mara dan rakan-rakannya yang kini melanjutkan pelajaran dan bekerja di luar negara berkata, mereka kagum dengan Jamil sambil akur hubungan antara kaum pada masa dulu dan kini berbeza.

Mengimbas kembali bagaimana klip itu dihasilkan, Jamil berkata sekumpulan kru India tempatan yang membuat penggambaran di Batu 2, Ladang Kerling, kira-kira tujuh kilometer dari Kuala Kubu Baru tahun lalu (2013) merakamkan perbualan itu secara santai.

"Mereka tengok saya pandai dalam bahasa Tamil, mereka minta saya bercakap. Orang estet apa boleh cakap besar? Cakap saja apa yang ada dalam hati. Betul jugakan orang dulu dan sekarang lain. Tapi tak sangka ia boleh popular macam ini," katanya.

Anak kelahiran Jalan Bukit Kuda, bandar diraja Klang itu mengambil alih perniagaan kedai makanan dan runcit di Ladang Kerling itu, kira-kira 53 tahun lalu, daripada abang iparnya ketika beliau berusia 23 tahun.

"Sebelum itu, saya bekerja sebagai tukang masak di rumah pengurus ladang Sungai Chua, F W Harrison. Masa itu saya baru berumur 15 tahun, jadi isteri beliau yang mengajar saya cara memasak.

"Mereka juga ajak saya ikut ke Australia kerja di rumah mereka. Tetapi isteri dan anak-anak saya kata jangan. Mereka takut mungkin saya kahwin kali kedua pulak," katanya sambil ketawa besar, berkongsi pengalamannya.

Hasil perkongsian hidup dengan Stiah Kutty, 72, wanita keturunan Malabar, India, pasangan itu dikurniakan tujuh anak (tiga lelaki dan empat perempuan), 25 cucu dan dua cicit, yang kesemuanya boleh bertutur pelbagai bahasa.

"Rojak... bahasa Melayu, Tamil, Malayalam, Inggeris...sikit-sikit bahasa Cina, semua boleh. Sejak kecil lagi, saya pandai cakap bahasa Tamil. Sebab itu bila jatuh cinta dengan Stiah masa saya umur 20 tahun, kedua-dua keluarga pun tak ada halangan untuk dikahwinkan," katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'anneh' (abang) dan 'kadaikaru'(pekedai) menetap di Ladang Kerling lebih 50 tahun lalu berkata dalam keadaan serba kekurangan, masyarakat pelbagai kaum ketika itu tetap menikmati kehidupan aman dan baik seperti mana yang diimpikan pemimpin negara.

Malangnya, pembangunan pesat negara telah 'menelan' nilai-nilai mulia seperti sikap bertolak ansur, hormat menghormati, tolong menolong, kunjung-mengunjungi rumah terbuka perayaan mahupun memahami perasaan dan sensitiviti sesuatu kaum, kata beliau dengan nada kesal.

"Dulu lebih 200 keluarga ada di ladang ini...India, Melayu, Cina semua ada. Kita macam abang adik, satu keluarga. Tak ada kacau, gaduh, tak ada masalah. Kalau Hari Raya, kita buat kuih untuk semua orang...sebab semua kita kenal.

"Kalau Deepavali, rumah saya penuh dengan kuih-muih daripada kawan-kawan India. Begitu juga kena pergi kesemua rumah. Kalau terlepas satu, kawan India itu marah pulak. Itu sambutan dulu..."

"Sekarang negara maju, tapi semangat kekitaan-kekeluargaan itu tak ada. Saya tak tahulah, ia dapat dihidupkan semula atau tidak. Kalau disuburkan semula, bagus untuk semua," katanya sambil menyatakan sebilangan kecil kawan-kawan lama dari ladang itu masih menghubungi beliau dan mengunjungi kedainya apabila melalui kawasan itu.

Beliau merupakan penggemar lagu klasik Tamil dan cerita filem Tamil berlatarbelakangkan keluarga, selain filem-filem klasik Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Menurutnya, beliau pernah melawat beberapa negara antaranya Australia, Jerman, England, Arab Saudi, Singapura dan India, namun baginya tidak ada negara yang unik dan aman seperti Malaysia dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan perayaan yang dikongsi bersama semua orang.

Sementara itu, bekas anak kelahiran ladang itu, Ketua Pemuda MIC Selangor V Mugilan berkata, Jamil banyak menolong masyarakat ladang itu, termasuk beliau sendiri sehingga menjejak kaki ke Universiti Malaya.

"Sewaktu di sekolah rendah dan menengah, setiap hari saya pergi ke kedai Pak Cik Jamil untuk baca akhbar Tamil dan Utusan Melayu secara percuma, sebab tak mampu beli akhbar. Beliau menggalakkan saya baca akhbar dan mahu melihat anak-anak ladang maju.

"Lagipun Pak Cik (Jamil) kenal sangat dengan ayah saya, beliau juga sentiasa menasihatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh dan menyedari pengorbanan ibunya terutamanya selepas ayahnya meninggal dunia," katanya sambil melahirkan rasa gembira dengan tersebar luasnya 'Klip Pak Cik Jamil' dalam media sosial.

Pekerja ladang Kerling, Tamil Selvam pula menyifatkan Jamil yang telah menunaikan haji tujuh tahun lalu sebagai orang yang mudah mesra, pandai berjenaka dan suka menolong orang lain.

"Walaupun harga makanan naik di semua tempat, Pak Cik Jamil hanya kenakan 80 sen bagi teh tarik dan 70 sen bagi roti canai. Kita orang lama ada lebih kurang 10 keluarga sahaja. Kita 'respect' dia (Jamil)," katanya.

Isterinya Stiah berkata, walaupun anak-anaknya mengajak mereka tinggal bersama di bandar namun bagi beliau dan suaminya, Ladang Kerling tetap istimewa dan akan menyambut Deepavali tahun ini juga bersama penduduk ladang ini. -mStar