Kecoh: Imam Dakwa Dipijak, Pengurus Dakwa Dilibas Parang!

LANCHANG - Seorang Imam yang juga peneroka mendakwa dikasari dan dipijak sekumpulan lelaki termasuk Pengurus Felda ketika melakukan kerja di ladang sawit Felda Bukit Damar, di sini Khamis minggu lalu.

Shafii Lebai Hanafiah, 64, berkata, kejadian itu berlaku selepas dia dan pengurus berkenaan bertengkar mengenai hak milik ladang sawit berkenaan yang telah dibeli anaknya.

“Semasa pertengkaran tersebut tiba-tiba dua orang lelaki memegang badan saya sehingga saya terjatuh dan sejurus itu pengurus berkenaan telah memijak paha saya menyebabkan saya kesakitan.

“Akibat kejadian itu saya berasa sakit di bahagian badan dan trauma sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Lanchang bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan menggunakan kekasaran dalam perkara itu amat tidak wajar kerana jelas melanggar undang-undang negara dan menimbulkan suasana tidak harmoni dengan peneroka.

Menurutnya, sekiranya tidak berpuas hati, pihak berkenaan boleh membawa perkara tersebut di peringkat atasan bagi tujuan pengadilan.


Dakwa tanah sudah dibeli  

Dalam pada itu beliau memberitahu bahawa ladang berkenaan telah dibeli anaknya daripada pemilik asal yang telah meninggal dunia pada 2003.

Jelasnya, pada masa ini dia telah mendapat kebenaran daripada semua waris pemilik berkenaan dan sedang dalam proses melakukan pertukaran nama pemilik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda, Mohamad Razali Ithnain berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, pihaknya akan melantik peguam bagi menyelesaikan perkara itu termasuk mendapatkan ganti rugi akibat kejadian tersebut.

Beliau juga menggesa supaya status ladang itu diselesaikan dengan segera sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.


Pengurus nafi dakwaan Imam

Sementara itu, Pengurus Felda Bukit Damar menafikan dia bertindak ganas memijak kaki Imam tanah rancangan itu sebaliknya terpaksa bertindak mempertahankan diri selepas dilibas parang panjang oleh warga emas itu ketika cuba berbincang.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada 25 September lalu, Md Isa Karim berkata, dia menerima panggilan telefon daripada penyelia ladang memaklumkan Shafii sedang mengambil buah di lot ladang milik Felda.

“Sebaik sahaja saya sampai di dalam ladang, saya bertanya kepadanya kenapa dia mengambil buah sawit kerana hasil di ladang itu bukan miliknya sebaliknya milik Felda.
“Ketika sedang bersoal jawab tiba-tiba Shafii mengeluarkan parang panjang dan cuba melibas ke arah saya, pemandu saya dan penyelia ladang.

“Saya bertindak pantas mempertahankan diri dengan memaut leher Shafii dan salah seorang dari kami merampas parang panjang itu dan dibuang jauh dari Shafii,” katanya sewaktu ditemui semalam.


Dakwa dihalang keluar dari ladang

Bagaimanapun katanya, dalam perjalanan keluar dari ladang, dia ditahan tiga pemuda tanah rancangan itu dan salah seorang darinya sangat agresif bertanya kenapa beliau memukul Shafii.

Ketika sedang berbincang, tiba-tiba Md Isa nampak, Shafii menunggang laju motosikal dari arah belakang dan cuba melanggarnya.

“Saya cuba elak tetapi terkena juga pada betis kanan, ketika itu Shafii jatuh tertiarap. Shafii bangun dan memberi isyarat dengan kepala kepada tiga pemuda kampung untuk memukul saya tetapi mereka tidak pukul selepas saya terangkan undang-undang melindungi saya,” katanya.

Md Isa berkata, dia kemudian pulang ke pejabat dan hanya berkesempatan membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh kira-kira jam 12.30 tengah malam hari kejadian kerana terpaksa menghadiri mesyuarat.


Pemilik asal tidak beri notis ambil alih

Md Isa berkata, kejadian berpunca daripada kegagalan Shafii dan anaknya memahami status tanah yang dibeli dari peneroka asal berjumlah RM75,000 pada 2003.

Menurutnya, Shafii adalah peneroka asal yang memiliki ladang kelapa sawit berkeluasan 4 hektar di Felda Bukit Damar dan pada 19 Ogos 2003 anak lelakinya Hasfani Azilan membuat perjanjian membeli satu ladang lain dari seorang lagi peneroka asal Yusuf Mamat.

Beliau berkata, sebelum itu Yusuf Mamat menyertai skim tanam semula pada 2002 dan menerima bayaran bulanan sara hidup dari Felda dan kemudian meninggal dunia pada 8 April 2008.

“Ketika membuat perjanjian jual beli itu, pengurus Felda ketika itu tidak pernah menyokong urusan itu kerana tertakluk kepada Seksyen 15 akta penempatan berkelompok (GSA) 1960.

“Pada September 2003, Yusuf Mamat tidak memberi notis untuk ambil alih pengurusan ladang daripada Felda dan beliau juga tidak membayar balik hutang kepada Felda malah terus mengambil wang sara hidup setiap bulan sehingga beliau meninggal dunia.

“Yusuf tidak ada anak dan isteri telah meninggal dunia, segala hartanya jatuh kepada anak saudaranya Zainal Abu Bakar, pada masa sama Shafii telah meminta Zainal menandatangani surat tukar hak milik tetapi Zainal enggan dan cuba mendapatkan nasihat Felda.

“Atas nasihat Felda, Zainal enggan menandatangani surat itu kerana tanah Felda tidak boleh dijual beli dan sehingga kini ia masih milik Felda,” katanya.

Md Isa berkata, beliau mempunyai bukti kukuh segala urusan jual beli antara Hasfani Azilan dan Yusuf Mamat itu tidak berhasil dan geran asal tidak bertukar milik dan masih pada pewaris Yusuf Mamat iaitu Zainal Abu Bakar.

“Ini bermakna ladang itu masih hak milik Felda, banyak lagi faktanya tetapi cukup sekadar makluman urusan jual beli itu tidak berhasil dan tindakan saya mempertahankan hasil ladang itu adalah kerana tanggungjawab saya sebagai pengurus yang dilantik,” katanya. -Sinar Harian