Kedah "Ratah" Kelantan, Mara Ke Separuh Akhir Piala Malaysia.. Syabas!

Alor Setar - Skuad bola sepak Helang Merah, Kedah "meratah" pasukan Naib Juara Piala Malaysia 2013, The Red Warriors Kelantan, apabila melakarkan kemenangan bergaya 3-0 di Stadium Darulaman malam tadi.

Dengan kemenangan skuad kebanggaan rakyat Kedah itu, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu mengesahkan slotnya ke peringkat separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3.
  
The Red Warrior sebelum itu menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, pada 3 Oktober lalu.

Pada aksi malam semalam, skuad Hijau Kuning telah berjaya memecahkan kebuntuan menerusi Mohd Hanif Md Dzahir pada minit ke-42 selepas beliau bijak memanfaatkan hantaran daripada Billy Mehmet Osman.

Kedah selepas itu menambah derita Kelantan apabila berjaya menggandakan kedudukan menerusi gol kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, pada minit ke-52 hasil dari kelalaian benteng pertahanan pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Kelantan bertambah malang selepas penyerang mereka, Ahmad Fakri Saarani diperintah keluar padang pada minit ke-70 oleh pengadil, Samsudin Ibrahim, selepas pemain itu menerima kad kuning kedua.

Muhd Syafiq Ahmad kemudiannya muncul wira Kedah dengan mengesahkan slot separuh akhir untuk skuad Helang Merah melalui jaringan emas perlawanan pada minit ke-88 selepas menerima hantaran Adam Griffith.
Bagaimanapun, Stadium Darul Aman terpaksa bergelap kira-kira 15 minit sebelum perlawanan bermula ekoran masalah lampu limpah, namun berjaya diatasi. -KedahNews.com