KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob
mengumumkan Kelantan akan laksanakan undang-undang hudud tahun depan.
Pengumuman rasmi itu menunjukkan ketegasan Kerajaan Kelantan dalam pelaksanaan perundangan syariah di negeri berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan beberapa langkah dan
persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud termasuk berkaitan usaha
membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat nanti.
“Dua minggu lepas, kita baru sahaja mengadakan muzakarah penyediaan
kaedah hukuman Kanun Jenayah Syar’iyyah yang turut dihadiri mufti
seluruh negara, pakar perundangan dan pakar perubatan.
“Jika kita berjaya siapkan draf enakmen ini berpandukan kaedah
hukuman tersebut, kerajaan negeri kita adalah kerajaan pertama, bukan
setakat di Malaysia akan tetapi di dunia ini yang mempunyai kaedah atau
undang-undang bertulis mengenai tatacara hukum had (hudud) secara
terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena
Seminar Penghayatan Hududullah Peringkat Negeri Terengganu, di Permai
Inn, di sini, semalam.
Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri
Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ahmad berkata, hasrat untuk menjayakan pelaksanaan hudud pada 2015, dibuat berdasarkan enam faktor antaranya menjelaskan kepada masyarakat hanya undang-undang ALLAH SWT dapat menyelesaikan masalah jenayah selain menyatakan kesungguhan Kerajaan Kelantan yang tidak putus asa terhadap pelaksanaan tersebut.
“Ketiga, memberi kesedaran kepada minda dan fikiran umat Islam
terhadap Kanun Jenayah Syar’iyyah ini sebagai hukum ALLAH dengan tujuan
dapat membuka jalan bagi dilaksanakan suatu hari nanti.
“Walaupun perlaksanaannya dianggap terlalu sukar hari ini tetapi suatu
hari nanti ia jadi kenyataan. Kita lihat sahaja Brunei diumumkan secara
rasmi pelaksanaan Kanun Jenayah Syar’iyyah ini,” katanya.
Beliau berkata, faktor keempat bertujuan membuka jalan dan penerangan
kepada masyarakat bukan Islam mengenai konsep hudud bersifat mendidik,
faktor kelima memberi isyarat jelas kepada pihak yang masih tidak yakin
dengan pelaksanaan hukuman tersebut supaya lebih positif dan keenam
memberi semangat kepada pemimpin kerajaan dan rakyat membuat persediaan
bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan itu.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap pemikiran segelintir
umat Islam yang masih terikat dengan asas pemikiran barat disebabkan
beberapa perkara yang dianggap jenayah oleh syariat Islam tidak dianggap
jenayah oleh kanun keseksaan Malaysia dan ‘panel code’ England
antaranya melakukan zina serta minum arak. – Sinar Harian