NABI Idris a.s diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan umat
keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Idris merupakan keturunan
keenam Nabi Adam a.s. Dalam kalangan bangsa Ibrani, ia dikenal dengan
nama Khunuh. Idris belajar agama sejak kecil daripada Nabi Syits, anak
lelaki Nabi Adam.
Idris berdakwah kepada kaumnya dengan gigih sehingga menerima gelaran Asad al-usud, yang bererti "singanya singa".
Ketika Nabi Muhammad SAW melakukan Israk Mikraj, baginda bertemu
dengan Nabi Idris di langit keenam. Ketika itu Nabi Idris tidak banyak
diceritakan di dalam al-Quran. Namanya hanya disebut dalam surah Maryam
ayat 56-57 dan surah al-Anbiya ayat 85-86.
Nabi Idris merupakan manusia pertama yang dapat menulis dengan kalam
(alat tulis yang diperbuat daripada buluh). Idris dikurniai Allah SWT
dengan beberapa kepandaian dan kemahiran. Ia menguasai ilmu hisab, ilmu
haiwan, menunggang kuda, dan menjahit pakaian.
Selain itu, Idris jua amat tekun dalam sesuatu pekerjaan atau usaha
yang dilakukannya. Ia belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu
dan tempat. Sejak kecil, Idris telah pandai membaca Sahifat
(lembaran/helaian bertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits.
Idris
menerima wahyu daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril dengan 30
Sahifah. Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada
umatnya.
Dikunjungi Izrail
Malaikat Izrail pula amat mengagumi kepandaian Idris. Ia ingin
mengenal Idris dengan lebih dekat. Dengan menyamar sebagai manusia, ia
bertandang ke rumah Idris. Setelah berkenalan, Idris mempersilakan
tamunya itu menginap di rumahnya. Mereka kemudiannya beribadah dengan
tekun.
Idris meminta tamunya itu menikmati semua yang ada di rumahnya,
tetapi Izrail menolaknya dan hanya ingin beribadah. Idris berasa hairan
dan bertanya siapa sebenarnya tamunya itu. Si tamu menjawab bahawa dia
adalah Izrail, malaikat pencabut nyawa.
Ketika umat Nabi Idris derhaka, Allah SWT menurunkan azab kepada
mereka. Beberapa waktu negeri mereka dilanda kemarau. Aktiviti pertanian
terhenti dan banyak haiwan ternakan yang mati. Untuk memperkukuhkan
imannya, Idris memohon kepada Allah SWT agar diizinkan untuk melihat
syurga dan neraka. Allah SWT memenuhi permohonan Idris itu.
Bersama Izrail, Idris mengunjungi neraka dan melihat api neraka yang
menjulang serta berbagai-bagai bentuk seksaan di dalamnya. Kemudian
Izrail membawa Idris ke syurga. Di sana Idris bertemu dengan Malaikat
Ridzuan dan melihat nikmat yang diberikan Allah SWT kepada para penghuni
syurga.
Oleh kerana sebahagian umatnya kufur, Idris mengajak para pengikutnya
yang beriman meninggalkan negeri mereka. Pada awalnya mereka keberatan
kerana khuatir negeri baharu yang akan mereka huni tersebut tidak
sesubur negeri mereka.
Bagaimanapun, Idris dapat meyakinkan umatnya yang beriman itu sehingga mereka mengikut Idris berhijrah ke Mesir.
Tewaskan iblis
Pada suatu ketika Idris digoda syaitan/iblis. Ketika Idris sedang
menjahit baju, tiba-tiba datang syaitan dengan menyamar sebagai seorang
lelaki. Iblis itu membawa sebiji telur. Ia mencabar Idris supaya meminta
Tuhannya memasukkan dunia ke dalam telur itu. Permintaan tersebut
dimaksudkannya untuk membuat Idris berasa ragu-ragu akan kemampuan
Tuhannya.
Bagaimanapun, dengan tegas Idris menjawab bahawa Tuhannya bukan
sahaja mampu memasukkan dunia ke dalam telur, tetapi juga ke lubang
jarum. Lalu dengan jarumnya, Idris mencucuk mata Iblis. Iblis mengalah
dan terus menghilangkan diri. -Utusan