Kerajaan mengakui masih terdapat dua juta isi rumah di negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
berkata, jumlah itu berdasarkan 28.7 peratus daripada tujuh juta
keseluruhan isi rumah di Malaysia.
"Kita belum selesa kerana walaupun pendapatan rakyat meningkat, masih
ramai lagi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah," katanya pada
sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor)
berhubung kadar pergerakan gaji atau pendapatan seiring dengan
pergerakan kos hidup purata tahunan rakyat.
Bagaimanapun Abdul Wahid berkata, berdasarkan kajian pendapatan isi
rumah pada 2009, 2012 dan yang terkini pada tahun ini, wujud peningkatan
sebanyak lapan peratus.
"Berdasarkan kajian tersebut, purata pendapatan isi rumah meningkat
dari RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012 dan kepada RM5,919 pada
2014.
"Manakala pendapatan penengah atau median telah meningkat dari
RM2,830 pada 2009 kepada RM3,626 pada 2012 dan kepada RM4,258 pada
2014," katanya.
Selain itu Abdul Wahid berkata, pada masa sama indeks harga pengguna
juga meningkat dari 98.3 peratus kepada 110 iaitu peningkatan sebanyak
2.3 peratus setahun.
"Ini bermakna pendapatan isi rumah meningkat lebih tinggi berbanding
peningkatan kadar inflasi dalam jangka masa lima tahun terakhir ini.
"Ini berikutan langkah kerajaan yang memfokuskan kepada golongan
pendapatan 40 peratus isi rumah terendah termasuk pengenalan gaji
minima, BR1M dan lain-lain usaha meningkatkan kemahiran golongan
tersebut supaya mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan dengan
pendapatan lebih tinggi," katanya. -mStar