Kerajaan Negeri Kedah Jawab Dakwaan Kontraktor

ALOR SETAR - Tiada pilih kasih dalam proses agihan projek kecil tahunan kerajaan kepada kontraktor kecil kelas G1 dan G2 sebaliknya dibuat mengikut keupayaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan cuba berlaku adil kepada semua pihak untuk mengelakkan rasa tidak puas hati.

Menurutnya, beberapa aspek diambil kira termasuk dari segi keupayaan, tenaga kerja dan jentera secukupnya untuk menjalankan projek berkaitan sebelum pengagihan kepada kontraktor bersesuaian dilakukan.

“Memang ada kontraktor yang dapat dan ada tidak dapat. Kita harap pihak yang tidak dapat itu boleh bersabar kerana masih ada projek lain lagi di negeri ini.

“Tidak semestinya projek penyelenggaraan jalan sahaja yang mahu dibuat kerana kita dalam proses merancakkan ekonomi negeri,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia peringkat negeri di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, di sini, semalam.

Terdahulu Jawatankuasa Bertindak Gabungan Kontraktor G1 dan G2 Kedah menggesa kerajaan negeri menyemak semula pengagihan projek kecil tahunan melalui penganugerahan secara pukal kepada kontraktor kelas tinggi dan campur tangan exco dalam sistem sebut harga sedia ada.

Pengerusinya, Zainol Abidin Thamim mendakwa menjelang awal tahun ini, projek itu hanya diberikan kepada dua syarikat kontraktor kelas G7 melalui seorang exco dianggarkan bernilai RM70 juta untuk tujuan penyelenggaraan jalan.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri bukan hanya menumpukan kepada proses pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi mahu memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat hasil perkembangan ekonomi.

“Perkara ini sudah banyak kali dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri (MKN).

“Kita sudah menemui ramai kontraktor kecil di negeri ini, namun bila jumpa satu kumpulan rupanya ada banyak lagi kumpulan lain,” katanya.

Beliau berkata, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain juga diberi tanggungjawab untuk mengambil perhatian terhadap isu berkenaan.

“Bila ada ruang kelak, kita sedia berjumpa dengan mana-mana pihak kerana kerajaan mengamalkan dasar pintu terbuka,” katanya. -Sinar Harian