GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mempertahankan
kesahihan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sehingga jelas terbukti pasukan
itu adalah haram oleh mahkamah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata jika benar pasukan yang ditubuhkan oleh kerajaan
negeri itu adalah pertubuhan haram, mengapa Peguam Negara dan polis
mengambil masa yang lama untuk mensabitkan PPS ke mahkamah.
“Lanjutan tempoh jaminan terhadap 157 anggota PPS yang ditahan pada
31 Ogos lepas menunjukkan bahawa peguam negara dan pihak berkuasa
berkenaan tidak ada bukti yang kukuh semasa menangkap anggota PPS. Ini
adalah kali kedua, tempoh jaminan dilanjutkan oleh polis.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tindakan menangkap mereka adalah
sesuatu yang tidak berasas langsung,” katanya pada sidang akbar di sini
hari ini.
Semalam, polis melanjutkan tempoh jaminan 157 anggota PPS yang berakhir semalam sehingga 1 Dis ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata
lanjutan tempoh itu adalah kali kedua selepas kali pertama surat jaminan
selama 30 hari dikeluarkan 30 Sept lepas.
Lim berkata pihaknya juga bersedia untuk mengemukakan bukti di
mahkamah dan menunggu sehingga 1 Dis ini untuk tindakan selanjutnya.
Pada 31 Ogos lepas, 154 anggota PPS ditahan kerana ingkar amaran
untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan
Pendaftar Pertubuhan.
Ia disusuli penahanan exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam
Sekitar yang merupakan pengerusi PPS, Phee Boon Poh, pada hari yang sama
dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer sehari
selepas itu manakala Timbalan Pengerusi PPS merangkap Anggota Parlimen
Tanjong Ng Wei Aik pada 4 Sept. – BERNAMA